Home Dunia Table Mountain terbakar, bangunan sejarah Cape Town musnah

Table Mountain terbakar, bangunan sejarah Cape Town musnah

Perpustakaan Jagger University of Cape Town yang turut terjejas akibat kebakaran Table Mountain. foto Agensi

CAPE TOWN – Kebakaran hutan yang berlaku di lereng Table Mountain telah merebak ke kampus University of Cape Town (UCT) yang terletak berdekatan, memaksa beratus-ratus pelajar diselamatkan.

Api merebak dengan cepat setelah kebakaran meletus berhampiran tapak peringatan ahli politik Cecil Rhodes pada pagi Ahad.

Sebuah restoran turut musnah

Perpustakaan bersejarah universiti dan bangunan lain juga terjejas.

Empat helikopter digunakan untuk mengebom air.

Taman Negara Afrika Selatan memberitahu, bomba telah dimaklumkan tentang kejadian itu pada jam 9 pagi waktu tempatan (07:00 GMT).

Tetapi api merebak dengan pantas kerana kawasan belukar yang kering.

Difahamkan anggota bomba memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk mengawal api.

Lebih 120 anggota bomba telah dihantar ke kawasan berkenaan dan salah seorangnya telah dihantar ke hospital kerana cedera terbakar.

Kebakaran itu sebahagiannya memusnahkan Perpustakaan Jagger Universiti Cape Town dan Mostert’s Mill yang bersejarah.

Malah, bangunan-bangunan lain juga terjejas.

“Semua pelajar UCT telah dipindahkan dari kampus oleh kakitangan sokongan perkhidmatan kecemasan,” kata universiti itu menerusi Twitter.

Penduduk di daerah itu juga telah diberi amaran mengenai asap dan jelaga di udara dan diberitahu untuk menutup tingkap dan pintu.

Sementara itu, pejalan-pejalan kaki di Taman Nasional Table Mountain diminta untuk meninggalkan taman tersebut dan pemandu yang telah meletak kenderaan di kawasan itu diberitahu untuk mengambilnya. – MalaysiaGazette