Home Nasional Tukar hasil pecah rumah dengan dadah

Tukar hasil pecah rumah dengan dadah

Noorzainy (tengah) menunjukkan barang kes pecah rumah dan pejabat yang dirampas polis pada sidang media di IPD SPU hari ini.

KEPALA BATAS – Penahanan tujuh lelaki dalam dua serbuan di Butterworth dan Mak Mandin pada Khamis lalu membawa kepada pembongkaran kegiatan hasil pecah rumah ditukarkan dengan bekalan dadah.

Kegiatan kesemua suspek terbongkar selepas sepasukan polis yang diketuai Inspektor Mohd Shaazuani Razali menyerbu sebuah rumah di Kampung Perlis, Butterworth pada jam 10 pagi.

Noorzainy menunjukkan barang hasil pecah rumah dan pejabat yang dirampas pihak polis.

Difahamkan rumah tersebut dijadikan port pengedaran dan penagih melepaskan gian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan pertama membawa kepada tangkapan lima lelaki berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan pihak polis menemui tujuh ekor burung kakak tua dan merpati serta pelbagai mesin pembinaan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah serta pejabat kontraktor.

Noorzainy Mohd Noor.

“Hasil soal siasat mendapati lima suspek itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah didalangi suspek berusia 37 tahun yang turut ditahan dalam serbuan.

“Suspek utama yang mempunyai 22 rekod lampau itu mengaku burung serta barang binaan tersebut merupakan hasil pecah rumah dan pejabat yang dilakukan dua penagih dadah dikenalinya.

“Siasatan juga mendapati dua suspek itu akan menyerahkan hasil kegiatan jenayah mereka kepada tokan terbabit untuk ditukarkan dengan bekalan dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di sini hari ini.

Burung kakak tua serta merpati turut dicuri suspek untuk mendapatkan bekalan dadah.

Antara burung kakak tua yang dirampas jenis Black Capper Lory, Timneh African yang dianggarkan bernilai RM2,000 seekor.

Turut dirampas dalam serbuan itu dadah jenis heroin serta pelbagai mesin yang digunakan untuk pembinaan, antaranya mesin gergaji kayu dan drill.

Menurut Noorzainy, bertindak atas maklumat pihak polis menahan dua lelaki di Mak Mandin pada hari yang sama.

“Siasatan mendapati dua lelaki itu merupakan biras dan aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan pejabat sejak dua bulan lalu.

Kesemua barang yang dirampas bernilai RM24,000.

“Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati kesemua tujuh suspek itu baru keluar penjara. Ada yang baru bebas enam bulan dan sebahagian lagi setahun,” kata Noorzainy.

Tambah beliau, kesemua suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette