Home Sukan Chelsea, Man City, Real Madrid akan disingkirkan dari Liga Juara musim ini

Chelsea, Man City, Real Madrid akan disingkirkan dari Liga Juara musim ini

Liga Juara-Juara Eropah akan distruktur semula dengan dana berjumlah 6 bilion pound oleh UEFA bagi memastikan kelab-kelab yang bersaing setiap musim menjana pendapatan lebih lumayan.

LONDON – Chelsea, Manchester City dan Real Madrid yang kini mara ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini bakal disingkirkan dari baki saingan tersebut menjelang Jumaat ini.

Itu indikasi terbaharu yang dilontarkan oleh Pengerusi Danish FA.

Tiga kelab berkenaan antara 12 kelab elit Eropah yang bersetuju untuk menyertai Liga Super Europa (ESL) dengan mengikat kontrak selama 23 tahun sehingga mencetuskan kontroversi dan kritikan peminat di serata dunia sejak semalam.

Sementara itu Persatuan Kesatuan Bola Sepak Eropah pula berjanji hukuman tegas bakal menyusul ke atas kesemua kelab yang terlibat dalam projek tersebut.

Selain kesemua pemain dari 12 kelab elit itu berdepan risiko penggantungan beraksi bersama pasukan kebangsaan dalam piala dunia dan juga kejohanan Euro, Pengerusi DBU, Jesper Moller yang menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Uefa menjangkakan kelab yang terlibat dalam rancangan itu akan digantung dari saingan Liga Juara Eropah yang masih berlangsung ketika ini.

Chelsea, Manchester City dan Real Madrid berjaya menempah tiket ke pusingan separuh akhir kali ini bersama Paris Saint Germain satu-satunya kelab yang menjauhkan diri daripada menyertai ESL.

“Real Madrid, Manchester City dan Chelsea akan ditendang keluar dari saingan Liga Juara-Juara Eropah kali ini.

“Saya menjangkakan ia berlaku pada Jumaat ini..selepas itu anda akan mellihat bagaimana kita akan menamatkan saingan Liga Juara Eropah musim ini dengan satu kelab iaitu PSG,” tegas Moller.

Pendapat Moller juga menyaksikan Arsenal dan juga Manchester United yang sudah mara ke separuh akhir Liga Europa turut berisiko disingkirkan dari temasya berkenaan kerana menganggotai pembentukan ESL.-MalaysiaGazette