KUALA LUMPUR – Seorang lelaki sanggup memalsukan borang kebenaran rentas negeri bagi membolehkan rakan wanita warga Vietnam membeli tiket bas ekspres untuk pergi ke Pulau Pinang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dilaksanakan.
Bagaimanapun, helah itu tidak menjadi apabila penjual tiket di kaunter merasakan ada yang tidak kena borang itu lalu merujuk ke Pondok Polis di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Salak Selatan, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian jam 10 malam semalam, seorang lelaki cuba membeli tiket bas ekspres ke Pulau Pinang di TBS.
Kata, suspek berusia 38 tahun itu membeli tiket itu untuk rakannya, seorang wanita warga Vietnam berumur 41 tahun.
“Bagaimanapun, ketika kedua-dua suspek mengemukakan borang rentas negeri untuk semakan jurujual tiket, kakitangan di kaunter tiket mendapati borang rentas negeri yang dikeluarkan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) agak meragukan.
“Kakitangan itu bertindak pantas telah membawa lelaki tempatan dan perempuan Vietnam itu ke Pondok Polis TBS untuk siasatan lanjut pihak polis.
“Hasil siasatan lanjut mendapati borang rentas negeri yang dimiliki oleh pasangan itu pernah dikeluarkan sebelum ini oleh polis dan telah digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan polis mendapati suspek telah membuat beberapa pindaan pada borang tersebut untuk melakukan perjalanan merentas negeri dengan bas ekspres.
Katanya, kedua-dua individu itu telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut.
“Kertas siasatan ke atas mereka berdua telah dibuka untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 22 (d) Akta 342.
“Tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) telah dibenarkan selama sehari ke atas lelaki tempatan itu manakala rakannya perempuan Vietnam dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 23 April ini untuk membantu siasatan polis,” katanya. – MalaysiaGazette