Home Pendapat Selamatkan nyawa kita, halang rentas negeri untuk Aidilfitri

Selamatkan nyawa kita, halang rentas negeri untuk Aidilfitri

Gambar Hiasan

CADANGAN Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba supaya
rentas negeri untuk balik raya pada tahun ini ditangguhkan mengundang suram dan
geram ramai pihak.

Tak kata kepada sesiapa, waima para pegawai dan staf di Kementerian Kesihatan
Malaysia sendiri pun tentu berasa suram dan kecewa jika kerajaan tak benarkan kita
pulang sambut raya di kampung pada tahun ini.

Walaupun ia baru di peringkat cadangan pakar dari KKM dan belum diputuskan,
kebarangkalian cadangan itu disokong Sidang Majlis Keselamatan Negara yang
dipengerusikan Perdana Menteri adalah tinggi berdasarkan kepada situasi jangkitan
kes yang berlaku saat ini.

Sekiranya larangan tersebut menjadi kenyataan, maka tahun ini adalah kali kedua
umat Islam tidak dapat pulang ke kampung. Ia pasti mengundang duka lara yang
berpanjangan di hati sanubari rakyat Malaysia.

Dalam apapun emosi yang melanda diri terhadap keadaan ini, masyarakat di
Malaysia tiada pilihan lain, melainkan akur dan patuh terhadap keputusan yang di
buat.

Walau dalam keadaan penuh kecewa dan sedikit marah, namun kita tidak wajar
bertindak menggunakan emosi dan menampakkan kekurangan kecerdikan berfikir
untuk situasi ini.

Azab dan bencana lebih besar akan menimpa kita sekiranya masing-masing cuba
untuk melayan perasaan dan melanggar arahan yang ditetapkan dalam apa jua cara
sekali pun.

Jangan jadi masyarakat Malaysia yang pelik dan dungu. Mahu sektor ekonomi
rancak kembali dan mahu jumlah kes positif COVID-19 mendatar, tetapi dalam masa
sama kita sendiri tidak mahu akur kepada arahan yang ditetapkan.

Jika kenangkan kampung halaman, apa salahnya kita manfaatkan kemajuan
teknologi komunikasi yang ada sekarang. Seperti juga tahun lepas, gunalah video
call, zoom meeting dan sebagainya untuk berhubung mereka di kampung atau sanak
saudara yang berada di mana sekalipun.

Adaptasi dan sedarlah bahawa inilah keadaan sebenar norma baharu kita waktu ini.
Ia mungkin akan berlarutan sehingga tiga atau empat tahun sekiranya masing-
masing masih degil untuk mematuhi arahan.

Pesan saya, bersiap sedialah untuk kita berhari raya di kawasan rumah masing-
masing asalkan tidak melebihi radius yang ditetapkan Prosedur Operasi Standard
(SOP) MKN.

Ir. Zanari Alias
Kuala Lumpur