Home Seni Hidup Terima kasih sumbang kos rawatan Jordan Mikhael Isqandar – ibu

Terima kasih sumbang kos rawatan Jordan Mikhael Isqandar – ibu

Maryanti menunjukkan gambar anak sulungnya yang kini kritikal akibat menghidap penyakit hati.

GEORGE TOWN – “Terima kasih kepada mereka yang menyumbang untuk kos pemindahan hati anak sulung kami, saya mohon orang ramai tolong doakan yang terbaik buat dirinya”.

Itu luahan ibu kepada Jordan Mikhael Isqandar Roslin, 2, yang menghidap penyakit hati dan kini dilaporkan berada dalam kritikal di Hopsital Pulau Pinang.

Maryanti.

Menurut Maryanti Othman ,40, sebagai seorang ibu dia mengharapkan ada sinar baru buat anak kembarnya itu walaupun hakikatnya kanak-kanak itu hanya bergantung dengan mesin sokongan hayat.

Jelas peniaga itu, anaknya yang mesra dengan panggilan abang itu dikesan menghidap penyakit hati selepas mengalami selesema dan demam tiga minggu lalu selain matanya berubah kekuningan.

Katanya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya pada 10 April lalu untuk rawatan namun keadaan kesihatannya semakin merudum sehingga dilaporkan koma.

“Susulan itu, pada 13 April dia dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang sebelum pihak hospital mencadangkan pemindahan hati dibuat sebagai jalan penyelesaian. Abang juga ‘ditidurkan’ dengan ubat sebagai persediaan menjalani pembedahan nanti.

Maryanti bersama suaminya Roslin menunjukkan gambar Jordan Mikhael Isqandar.

“Suami sanggup melakukan pemindahan hati dan dia melepasi semua ujian malah kami turut menerima sumbangan daripada orang ramai untuk membantu kos perubatan berjumlah RM150,000.

“Bagaimanapun, pemindahan hati yang sepatutnya dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini dibatalkan susulan kesihatan abang kian kritikal tambahan otaknya tidak memberi seberang reaksi,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Tambah Maryanti, anaknya kini bergantung kepada mesin sokongan hayat namun selepas mendapat pandangan doktor, mereka  mengambil keputusan untuk menghentikan mesin itu esok.

“Jika ‘abang’ mahu pergi, mama dan abah reda serta bersedia.

“Kepada orang ramai yang menyumbang untuk kos perubahan anak kami ucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan dan wang itu digunakan untuk kos dialisis berjumlah RM10,000 sepanjang dia berada di hospital,” katanya yang menetap di Jalan Kebun Sireh, Bukit Mertajam.

Jordan Mikhael Isqandar (kiri) bersama kembarnya Oman Rafaiel Muzaffar ketika berusia lapan bulan.

Mengulas lanjut, Maryanti berkata, seorang lagi anak kembarnya, Oman Rafaiel Muzaffar akan dibawa ke hospital untuk menjalani ujian bagi memastikan dia bebas daripada penyakit yang dihidap abangnya. – MalaysiaGazette