KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) digesa mengambil langkah proaktif untuk bersedia meningkatkan kadar proses vaksinasi, selepas bekalan baharu tiba dalam beberapa bulan lagi.
Kedua-dua pihak itu perlu menumpukan perhatian terhadap usaha meningkatkan penyediaan kemudahan logistik dan pentadbiran demi mempercepatkan serta melancarkan keseluruhan proses vaksinasi dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semasa seterusnya iaitu Fasa 3.
Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) berkata, usaha ini perlu merangkumi program kesedaran untuk melawan kekeliruan, keraguan, dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh rakyat.
“Langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah meningkatkan kadar pendaftaran, terutamanya dalam kalangan golongan yang berisiko tinggi, memperkasakan pusat khidmat talian untuk menyediakan notifikasi yang lebih bersistematik dan proses susulan, lantikan sukarelawan bukan perubatan yang lebih menyeluruh.
“Ini bertujuan untuk menguruskan hal-hal pentadbiran dan logistik, terutamanya semasa proses vaksinasi berskala besar, dan latihan yang berpatutan kepada para sukarelawan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan, dan lain-lain perkara,” kata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad itu.
Jelas jawatankuasa tersebut, persediaan untuk menerima bekalan tambahan vaksin perlu dimulakan sekarang terutamanya memastikan bekalan sumber manusia mencukupi untuk meningkatkan kadar vaksinasi setiap hari sebanyak empat kali ganda
“Perkara ini perlulah merangkumi persediaan sistem perubatan dan bukan perubatan untuk memudahkan keseluruhan proses ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, banyak perkara perlu dilakukan untuk mempercepatkan proses ini, terutamanya dengan stok vaksin sedia ada untuk merangkumi golongan petugas barisan hadapan dan kumpulan orang yang berisiko tinggi.
“Lebih lambat golongan ini menerima vaksin, lebih lama masa mereka terdedah kepada risiko dijangkiti dan menyebarkan penyakit ini. Sebagai contoh, kami telah menyeru supaya para guru, terutamanya di zon merah seperti Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang diberikan vaksinasi dahulu untuk menurunkan kemungkinan sekolah ditutup akibat penularan wabak Covid-19.
“Tetapi sehingga hari ini kita masih belum mendengar sebarang rancangan untuk satu program terancang untuk memberikan vaksin kepada para guru,” kata jawatankuasa berkenaan.
Sementara itu, kerajaan juga diseru mempertimbangkan penggunaan teknologi moden seperti chatbot dan kecerdasan buatan secepat mungkin untuk menjawab jumlah pertanyaan yang tinggi dalam PICK Fasa 2.
“Pelaksanaan awal sistem chatbot ini akan memberikan lebih banyak masa kepada kecerdasan buatannya untuk menambah baik respons yang diberikan sebelum usaha vaksinasi besar-besaran dimulakan pada bulan Jun,” kata jawatankuasa itu. – MalaysiaGazette