Home Nasional Maqis rampas 70 kg udang ketak sejuk beku

Maqis rampas 70 kg udang ketak sejuk beku

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menemui 70 kilogram udang ketak selepas menahan sebuah kontena yang membawa ikan sejuk beku dari Indonesia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dekat sini kelmarin.
Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, pemeriksaan rutin dijalankan pada jam 3 petang itu mendapati udang ketak yang dianggarkan bernilai RM8,400 dibawa masuk tanpa permit import.
“Kesemua udang ketak itu ditahan untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Ini kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, jika sabitkan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Manakala kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Maqis menasihatkan agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia. – MalaysiaGazette