Home Ekonomi MDEC lantik Fadzli Abdul Wahit sebagai CSO yang baharu

MDEC lantik Fadzli Abdul Wahit sebagai CSO yang baharu

Fadzli Abdul Wahit_

KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan pelantikan Datuk Fadzli Abdul Wahit sebagai Ketua Pegawai Strategi baharunya berkuatkuasa 16 Mei depan.

Beliau menggantikan Datuk Fadzli Shah Anuar.

Fadzli akan bertanggungjawab untuk memimpin unit strategi, transformasi dan pengurusan ke arah perubahan MDEC dalam memacu ekonomi digital ke hadapan.

Susulan perlantikan ini, Fadzli akan bekerjasama rapat dengan Majlis Operasi MDEC (MOC), Ahli-Ahli Pengurusan Kanan serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dalam menentukan strategi korporat yang berkesan untuk agensi bagi memenuhi misinya melahirkan masyarakat Malaysia yang inovatif serta terintegrasi dengan teknologi seperti yang digariskan dalam Malaysia 5.0.

Fadzli sebelum ini berkhidmat selama lebih 20 tahun di KPMG dengan jawatan terakhirnya mengetuai sektor kerajaan di KPMG Malaysia dan memimpin pembangunan perniagaan untuk sektor kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Beliau telah berjaya melancarkan pelbagai projek dalam bidang teknologi maklumat, pengurusan strategi dan proses perniagaan serta inisiatif berkaitan sumber manusia. – MalaysiaGazette