Home Nasional Menteri jangan segan menyinsing seluar lihat barang keperluan – Salahuddin Ayub

Menteri jangan segan menyinsing seluar lihat barang keperluan – Salahuddin Ayub

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub (dua kanan) ketika melakukan tinjauan berkaitan kenaikan harga barang di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 21 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa mewujudkan lebih banyak barang kawalan sempena musim perayaan, berbanding 10 senarai yang dikuatkuasa, hari ini.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan tidak perlu takut untuk menyenaraikan sehingga 30 barang keperluan rakyat pada harga kawalan kerana ia ternyata terbukti semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Semasa Kerajaan PH terbukti kita telah berjaya mengawal daripada 22 hingga 30 barang-barang keperluan rakyat termasuk ayam, daging, bawang, lada, telur.

“Saya perhatikan senarai harga barangan kawalan maksima yang dikeluarkan oleh KPDNHEP, hanya 10 senarai barang kawalan sahaja.

“Saya harap dalam tempoh terdekat ini menjelang hari raya KPDNHEP dapat senaraikan paling tidak 22 hingga 30 harga barang keperluan rakyat yang dikawal, 2 minggu sebelum perayaan dan 2 minggu selepas perayaan,” katanya kepada pemberita di Pasar Chow Kit, hari ini.

Salahuddin Ayub meninjau salah sebuah gerai di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 21 APRIL 2021.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin dan ADUN Taman Temple, Mohd Sany Hamzan melakukan tinjauan harga barang keperluan di Pasar Chow Kit susulan kenaikan harga ayam sejak minggu lalu.

Dalam pada itu, KPDHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makan (MAFI) perlu mencontohi langkah yang dilakukan sebelum ini, di mana kedua-dua kementerian ini boleh memanggil pembekal utama barang keperluan sebelum musim perayaan.

“Di zaman PH, kita akan beri lebih kurang seminggu sebelum perayaan berbincang dengan pembekal atau dua minggu sebelum kita nak laksanakan tarikh kita nak umumkan, jadi ini memberi satu jangka masa yang agak selesa kepada peniaga.

“Penguatkuasaan barang kawalan 15 hari sebelum perayaan dan 15 hari selepas perayaan.

“Sebelum itu memang berlaku kawalan harga maksima tetapi 7 hari sebelum dan 7 hari selepas perayaan

“Tapi masa PH kita cuba 14 hari sebelum dan selepas, lebih kurang 30 hari dan ia berjaya, rakyat agak selesa tahun itu dengan kawalan harga barang,” katanya.

Salahuddin juga berharap KPDNHEP dapat meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi harga kawalan sempena musim perayaan.

Salahuddin Ayub (tengah) bercakap kepada media selepas melakukan tinjauan berkaitan kenaikan harga barang di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 21 APRIL 2021.

“Ini bukan satu khayalan, ini boleh dibuat oleh kedua-dua kementerian ini untuk memastikan barang-barang asas rakyat dapat dikawal selama 30 hari. Hasrat ini insya-Allah saya nak sampaikan kepada kedua-dua kementerian ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi agar turun padang memantau harga barang keperluan rakyat.

“Tindakan proaktif perlu dilakukan, menteri perlu turun padang, jangan segan untuk menyinsing seluar untuk melihat barang-barang keperluan.

“Ini baru 10 barang kawalan yang dikuatkuasakan pada hari ini. Banyak lagi barang keperluan yang sememangnya dapat dikawal. Ini termasuk kobis bulat, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah, bawang besar import, bawang putih, ubi kentang, ikan kembung, ikan segar sejuk beku,

“Ini antara barang-barang yang memang sangat diperlukan oleh rakyat sepanjang musim perayaan ini.Saya harap harga ini dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Ditanya tentang harga siling ayam ditetapkan pada RM7.90 sekilogram, beliau tidak menafikan ia berita gembira buat rakyat, namun KPDNHEP perlu bertindak awal bagi memastikan harga itu menang menang buat peniaga.

“Hari ini saya dapat laporan daripada peniaga sendiri, mereka dapat (ayam) dalam RM7.50 sekilogram, mereka hanya untung dalam 30 hingga 40 sen sekilogram.

“Perkara ini boleh diperbaiki, sepatutnya sebelum puasa kedua-dua kementerian terbabit mengambil langkah lebih awal dan memanggil semua pembekal utama barangan ini,” katanya

“Kalau 30 hingga 40 sen, nak beli plastik lagi, bayar kos sampah lagi, macam mana nak ada untung.

“Sebelum ini mereka telah menjual pada harga RM9.50, tapi kita nak mewujudkan suasana menang-menang di kedua-dua belah pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hidup semakin mencengkam dizaman Malaysia Baharu? 2 bulan lagi @Julai 2021 dah mula start bayar installment payments rumah yang tertangguh? Suku atau separuh dari gaji dah habis kat situ saje?

Comments are closed.