Home Nasional Pendaftaran vaksinasi Covid-19 di Johor meningkat

Pendaftaran vaksinasi Covid-19 di Johor meningkat

Mohd Izhar Ahmad menyerahkan kit sanitasi kepada orang ramai.

JOHOR BAHRU – Program pendaftaran vaksinasi Covid-19 di Johor menunjukkan peningkatan dan mencapai hampir 50 peratus.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, perkembangan itu menunjukkan penduduk negeri ini sudah mempunyai kesedaran mengenai kepentingan program vaksinasi.
“Saya yakin peningkatan itu juga hasil program dan kempen menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seluruh Johor yang diadakan serentak bagi membantu penduduk mendaftarkan diri,” katanya semasa mengadakan program sumbangan kit sanitasi dan wang tunai kepada pengunjung di Bazar Ramadan Kampung Melayu Majidee, di sini.
Pada bulan lalu, program pendaftaran vaksinasi bagi penduduk Johor melalui aplikasi MySejahtera didapati masih rendah sekitar 10 hingga 30 peratus sahaja.
Sementara itu, Mohd Izhar yang juga ADUN Larkin menyampaikan sumbangan kit sanitasi kepada 200 pengunjung bazar Ramadan di Kampung Melayu Majidee, Larkin, Taman Suria dan Bandar Baru Uda.
Sumbangan itu berupa pelitup muka, cecair pembasmi kuman, tisu basah dan wang tunai untuk pengunjung berbelanja di bazar Ramadan.
Pemberian itu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak mengabaikan kesihatan.
“Kita kena sentiasa alert dengan persekitaran tak kira di mana berada.
“Jadi sebagai wakil rakyat saya juga bertanggungjawab memastikan penduduk negeri ini sentiasa dalam keadaan mematuhi SOP,” katanya. – MalaysiaGazette