Home Dunia Polis tembak mati gadis kulit hitam

Polis tembak mati gadis kulit hitam

Polis menutup kawasan tembakan yang menyebabkan kematian seorang gadis kulit hitam di Columbus. foto Agensi

OHIO – Seorang pegawai polis di Ohio menembak mati seorang remaja perempuan kulit hitam, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas polis menerima panggilan bantuan berhubung kes tikam.

Tembakan itu berlaku di ibu negara Columbus sekitar jam 16.45 waktu tempatan (20:45 GMT) pada hari Selasa, lapor akhbar Columbus Dispatch.

Polis Columbus kemudian menerbitkan rakaman kamera video kejadian itu yang menunjukkan beberapa orang menyerang seseorang sebelum gadis itu ditembak beberapa kali.

Siasatan sedang dijalankan dan polis meminta penduduk setempat bertenang.

“Petang ini seorang wanita muda kehilangan nyawa. Kami tidak tahu semua maklumat secara terperinci. Kami akan kongsi maklumat apabila semuanya tersedia,” kata Datuk Bandar Columbus, Andrew Ginther menerusi Twitter.

Insiden itu mencetuskan kemarahan penduduk setempat, lapor media Ameriks Syarikat.

Tembakan di Columbus itu berlaku tidak lama sebelum juri mendapati seorang bekas pegawai polis bersalah atas kematian seorang lelaki Afrika-Amerika, George Floyd di jalan Minneapolis tahun lalu.

Derek Chauvin, 45, tertuduh dalam kes tersebut dirakam berlutut pada leher Floyd selama lebih dari sembilan minit semasa tangkapan ke atas lelaki kulit hitam itu pada Mei lalu. – MalaysiaGazette