KUALA LUMPUR – Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila dapat merasai nikmat dan peluang untuk hamil dan melahirkan anak buat kali kedua.
“Syukur proses melahirkan semalam baik dan lancar. Saya dan bayi juga dalam keadaan baik. Terima kasih di atas doa semua pihak selama ini, saya yakin apa jua yang saya lalui ini adalah berkat daripada banyaknya doa anda. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” tulis di Instagram miliknya.
Menurut Siti, fokus utamanya kini adalah untuk memastikan anak keduanya berada dalam keadaan sihat. “Saya akan menjalani rutin berpantang seperti biasa, fokus kepada bayi dan mahu memastikan keadaan kami berdua akan terus sihat, dipermudahkan semuanya.
“Terima kasih sekali lagi di atas setiap doa yang telah dipanjatkan buat saya dan juga ucapan tahniah di atas kelahiran anak kedua saya,” katanya.
Siti, 42, turut memaklumkan dia dan bayi dibenarkan keluar hospital hari ini.
“Hari ini saya sudah pulang ke rumah, saya dan bayi juga sihat. Semoga proses berpantang juga akan lancar. Terima kasih di atas kata-kata semangat, doa dan ucapan-ucapan tahniah yang saya dan suami terima sampai ke hari ini,” tulisnya.
Isnin lalu, penyanyi lagu Anta Permana itu selamat melahirkan bayi lelaki menerusi kaedah pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor.
Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang berkahwin pada 21 Ogos 2006 dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun juga menerusi proses IVF. – MalaysiaGazette