Home Utama Tutup dulu sekolah – PIBGN

Tutup dulu sekolah – PIBGN

Pengawal Keselamatan, Jamalina Mohammad Ibrahim, 38, menampal notis penutupan sekolah berikutan kemunculan kluster pandemik Covid-19 dan sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup bermula semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2021. Gambar kecil ialah Dr Mohamad Ali Hasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan diminta menutup semua sekolah di seluruh negara buat sementara waktu dan kembali kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Cadangan ini perlu dilakukan ‘sebelum hujan jatuh sediakan pupur’ (sebelum bahaya datang, hendaknya bersiap-siap menangkis bahaya itu), kata Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), memandangkan trend peningkatan kes serta kewujudan kluster melibatkan sekolah semakin bertambah.

Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, hampir 20 peratus aduan diterima daripada ibu bapa dalam tempoh lima hari ini yang bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu segera bertindak mengatasi penularan ini dalam kalangan warga pendidik dan pelajar dengan menutup sekolah buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil.

“Sementara sekolah ditutup, PDPR dan program Didik TV secara berintergasi harus segera dilaksanakan dengan konsep yang lebih menarik agar pelajar tidak keciciran dalam sesi pembelajaran memandangkan suntikan vaksin masih belum secara menyeluruh.

“Ini belum lagi mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang agak longgar atau tidak dipatuhi, kita agak bimbang penularan jangkitan boleh berlaku daripada aktiviti persekitaran seperti berkunjung ke bazar Ramadan, pasaraya, pawagam dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Selain itu, Mohamad Ali turut mencadangkan KPM mewujudkan satu talian khidmat pelanggan ‘hotline’ yang boleh dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Langkah itu bagi membantu ibu bapa mengetahui perkembangan semasa pembukaan sekolah di sesebuah daerah yang dikategorikan sebagai tidak berisiko untuk hadir ke sekolah.

Semalam, sebanyak 19 buah sekolah di Selangor telah diarahkan tutup bermula hari ini berikutan kewujudkan kluster Covid-19, manakala di Kelantan sebanyak 472 sekolah dan Institut Pendidikan Guru (IPG) telah diarahkan tutup sehingga 24 April.

Mohamad Ali turut menggesa KPM untuk memberi keutamaan pada semua guru dan pendidik di negara ini menerima vaksin kerana mereka bersama-sama pelajar setiap hari.

”Guru-guru juga merupakan sebahagian daripada pasukan barisan hadapan dan saya fikir mereka ini wajar diberikan keutamaan.

“Memandangkan buat masa sekarang suntikan vaksin kepada guru belum menyeluruh, jadi jalan terbaik untuk mengawal penularan ini adalah dengan menutup sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan..
    adakah dia ni mengikuti atau memahami masalah keluarga yang susah mendapat liputan internet?
    Bercakap tanpa fakta walaupun ada Phd tetapi tidak alami sendiri memang tiada makna PhD tersebut wahai Prof..

Comments are closed.