KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pengasas produk penjagaan kulit, Iddin Syah memborong semua juadah di kalangan peniaga-peniaga bazar Ramadan Seberang Jaya mencuri tumpuan dan tular di media sosial.
“Saya tak pernah minta pun mendapat perhatian mana-mana pihak ketika mengadakan kunjungan sedekah di bazar Ramadan Seberang Jaya, baru-baru ini kerana niat saya ikhlas.
“Saya sekadar kongsikan video itu di Instagram personal saya sebagai content peribadi, sekali gus untuk memberi contoh yg baik kepada stokis dan ejen ESW,” tulisnya.
Iddin Syah menambah, dia bersyukur sekiranya pengikutnya di Instagram melihat ia satu inisiatif yang baik terhadap inisiatif yang dilakukannya itu.
Namun dia hanya berserah terhadap apa sahaja pendapat di kalangan segelintir netizen yang mengecam dan menganggap dirinya menunjuk-nunjuk kerana dia tahu itu bukanlah tujuan utamanya.
“Baiklah biarlah saya jelaskan disini kenapa saya membuat video ini… Setiap kali balik kerja melalui kawasan bazar Ramadan, saya sayu melihat peniaga-peniaga yang bertungkus-lumus mencari rezeki dalam keadaan hujan lebat.
“Memang banyak hari dah hujan berlaku waktu petang. Dalam hati ‘Ya Allah kesiannya depa ni, dahlah tahun lepas tak boleh berniaga sbb PKP 1.0 semua kena lockdown, tahun ni pula cuaca belah petang hujan lebat’.
“Macam manalah perasaan depa kalau juadah yang dijual tak habis sebab orang tak mai beli sebab hujan. Mesti depa rugi kan?” ujarnya pengasas produk ESW ini.
Iddin Syah memberitahu, menyedari keadaan itu, dia telah mengambil keputusan untuk membuat kejutan kepada peniaga-peniaga bazar.
“Kebetulan Allah SWT bagi rezeki dekat saya dan seluruh warga ESW kebelakangan ini, Subhanallah tak terkata hebatnya.
“Tapi video ini telah dikongsikan seseorang yang saya tidak kenali di Twitter lalu menjadi tular. Terima kasih naa spreadkan kebaikan…” ujarnya.
Pada masa sama, Iddin Syah berterima kasih kepada semua yang mendoakan kebaikan untuk dirinya.
“Akhir kata, saya harap peniaga2 bazar ramadan yg berada di pelosok mana pun tak pernah putus semangat untuk terus mencari rezeki yg halal.
“Terima kasih kerana bersusah payah menyediakan hidangan buat kami semua yang tak sempat masak ekoran kesibukan kerja,” ujarnya.
Ikhlas atau tidak adalah perkara niat hati hanya Allah yang maha tahu. Pokoknya rezeki jangan ditolak, maut jangan ditempah lebih-lebih lagi free pulak tu.