KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin dilihat masih mempunyai sokongan majoriti rakyat di Parlimen Ampang pada pilihan raya akan datang.
Spekulasi kononnya kedudukan Zuraida semakin goyah di Ampang susulan kecenderungan masyarakat bandar terhadap Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tidak berasas.
Menurut sumber MalaysiaGazette, sebahagian besar masyarakat di Ampang masih berpuas hati dengan prestasi wakil rakyatnya itu, namun hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak berpuas hati.
Ia seiring dengan pandangan beberapa penduduk Ampang yang mana gerak kerja kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh Zuraida mendapat perhatian masyarakat setempat.
Sumbangan dan agihan peruntukan kepada institusi masjid dan surau antara kerja-kerja kemasyarakatan yang tidak pernah gagal dilaksanakan oleh Zuraida sejak beliau mula menjadi wakil rakyat di Ampang.
Ikhtiar sosial tersebut telah berjaya menawan hati masyarakat Islam di Ampang.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas rakyat tidak dapat menjalankan aktiviti dan solat berjemaah pada bulan puasa, namun Zuraida dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak pernah lupa menyalurkan peruntukan masjid-masjid di sekitar Dun Bukit Antarabangsa.
Sumbangan yang disalur akan merancakkan kembali aktiviti dan mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadhan kali ini.
Banyak isu utama yang dihadapi masyarakat setempat telah dapat diselesaikan dan menjadi perhatian Zuraida melalui gerak kerja di Ampang.
Jika menilai potensi hanya berdasarkan kepada situasi politik skop pembangkang, seolah-olah Zuraida digambarkan ‘tidak bermaya’ atas faktor demografi pengundi campuran Ampang.
Undi masyarakat Melayu Ampang masih berupaya menyumbangkan kemenangan kepada Zuraida pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Maka tidak hairanlah jika PKR mula memberi bayangan awal bahawa Datuk Hans Isaac bakal diangkat sebagai calon parti itu untuk menentang Zuraida.
Langkah PKR itu jelas menggambarkan pelakon dan pengarah itu sebagai instrumen untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu di Ampang.
Jika benar PKR menempatkan Hans Isaac sebagai calon, beliau akan berhadapan dengan tekanan untuk memikat hati kelompok pengundi Melayu yang berada dalam institusi masjid dan surau ini. – MalaysiaGazette