Home Ekonomi Indeks Sentimen Pengguna meningkat hampir 14 mata pada suku pertama 2021- MIER

Indeks Sentimen Pengguna meningkat hampir 14 mata pada suku pertama 2021- MIER

KUALA LUMPUR – Indeks Sentimen Pengguna (CSI) Malaysia meningkat sebanyak hampir 14 mata suku ke suku mencecah paras tinggi sepuluh suku pada 98.9 mata pada suku pertama 2021, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Bagaimanapun, MIER berkata, CSI suku tahunan itu masih di bawah ambang paras keyakinan 100 mata, membayangkan bahawa meskipun pengguna menunjukkan petanda semakin menyesuaikan diri, mereka masih lagi konservartif.

“Program Imunisasi COVID-19 Negara yang bermula pada Suku Pertama 2021, dan pemulihan ekonomi domestik serta global kemungkinan adalah faktor yang melegakan sentimen pengguna kebelakangan ini,” katanya dalam Laporan Kaji Selidik Sentimen Pengguna Suku-1 2021, yang dikeluarkan hari ini.

Mengenai CSI yang bertambah baik itu, MIER berkata, kewangan pengguna dan jangkaan pekerjaan bagi tempoh enam bulan bermula sekarang juga meningkat suku ke suku dan tahun ke tahun.

“Memandangkan corak perbelanjaan pengguna adalah sejajar dengan komponen jangkaan keseluruhan CSI, peningkatan bacaan itu memberikan prospek yang baik kepada peralihan dalam corak perbelanjaan kerana pengguna sedikit sebanyak positif tentang ekonomi dan prospek kewangan mereka pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

MIER berkata, laporan itu juga menunjukkan kewangan semasa meningkat pada Suku-1 2021 dengan 15 peratus daripada 1,002 isi rumah yang dikaji mengakui perkara ini berbanding 11 peratus pada suku lepas.

Sementara itu, laporan tersebut menunjukkan sebahagian besar responden merasa gelisah dengan peningkatan harga, dengan 74 peratus melahirkan kebimbangan berhubung perkara itu berbanding 65 peratus pada Suku Keempat 2020 dan 57 peratus pada Suku Pertama 2020.

Bagaimanapun, ia berkata, pengguna merancang untuk berbelanja membeli belah lagi pada suku pertama 2021 susulan jangkaan peningkatan pendapatan dan pekerjaan tidak lama lagi.

Selain itu, sambutan Raya Aidilfitri pada Mei dan kadar faedah menarik yang ditawarkan oleh bank turut dijangka menyumbang kepada rancangan membeli belah pengguna.

“Dengan tinjauan bagi perbelanjaan berkaitan rumah yang lebih baik kali ini, perniagaan mungkin dapat mengurangkan inventori besar mereka secepat mungkin dalam tempoh jangka pendek.

“Selagi isi rumah terus berbelanja, mereka boleh membantu ekonomi berkembang perlahan-lahan, sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2021,” ujarnya. – MalaysiaGazette