JAKARTA – Indonesia mempunyai masa sekitar 72 jam untuk menyelamatkan 53 anak-anak kapal selam yang hilang sebelum kehabisan oksigen, kata tentera laut.
Kapal KRI Nanggala-402 dilaporkan hilang kira-kira 60 batu (100km) di luar pantai Bali pada awal pagi semalam.
Enam kapal perang, helikopter dan 400 orang terlibat dalam pencarian.
Singapura dan Malaysia telah menghantar kapal, bahkan Amerika Syarikat (AS), Australia, Perancis, dan Jerman juga telah menawarkan bantuan.
Kapal selam buatan Jerman itu telah melakukan latihan tetapi gagal memebuat laporan dan hubungan terputus, kata tentera laut.
“Kami tahu kawasan itu tetapi cukup dalam,” kata Laksamana Pertama Julius Widjojono.
Beberapa laporan mengatakan, hubungan terputus dengan kapal selam itu setelah ia diberi izin untuk menyelam ke perairan yang lebih dalam.
Sementara itu, tumpahan minyak yang ditemui dekat kapal selam, mungkin menunjukkan kerosakan tangki bahan bakar atau ia isyarat daripada kru, kata angkatan laut.
Kapal yang hilang itu adalah satu daripada lima kapal selam yang dikendalikan oleh Indonesia.
Ia dibuat pada akhir 1970-an dan menjalani proses perbaikan selama dua tahun di Korea Selatan yang siap pada tahun 2012.
Ini adalah kali pertama kapal selam hilang di Indonesia tetapi banyak kejadian berlaku di negara lain.
Pada tahun 2017, kapal selam tentera Argentina hilang di selatan Atlantik dengan 44 kru di dalamnya.
Bangkai kapal itu ditemukan setahun kemudian dan dikatakan kapal selam itu telah meletup. – MalaysiaGazette