Home Nasional KPDNHEP tidak akan ubah harga maksimum daging tempatan – Alexander

KPDNHEP tidak akan ubah harga maksimum daging tempatan – Alexander

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menunjukkan harga daging semasa mengadakan lawatan di MyFarm Outlet Kasih, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2021.

PUTRAJAYA –  Tidak ada keperluan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengubah harga maksimum daging lembu tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan harga untuk daging tempatan dibuat berdasarkan perbincangan dan persetujuan daripada pelbagai pihak dan agensi termasuk pengusaha.

Justeru, beliau menolak dakwaan bahawa kementeriannya ingin membunuh peniaga dengan meletakkan harga yang disifatkan lebih rendah.

“Kalau dikatakan membunuh mereka saya kasihanlah, tiada sekali niat untuk membunuh sesiapa dalam hal ini dan harga yang telah ditetapkan setahu saya daripada bagaimana selama ini lazimnya kita buat di tahun-tahun lalu.

“Semua agensi-agensi yang berkaitan dalam hal ini kita telah duduk bersama dengan pegawai KPDNHEP, bersama juga wakil-wakil daripada peniaga kita tanya kalau tidak bersemuka sekurang-kurangnya kita dapatkan maklumat.

“Yang kita letak telah dipersetujui. Jadi memanglah kita tidak dapat tanya setiap orang mungkin yang berkata begitu tidak terlibat dalam perbincangan penetapan harga.

“Buat masa sekarang saya belum nak buat perubahan, kita tidak mahu dilihat ada flipflop,” katanya selepas melawat MyFarm Outlet Kasih di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang rungutan dalam kalangan peniaga daging lembu yang mendakwa harga maksimum yang ditetapkan KPDNHEP menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 baru-baru ini, seolah-olah mahu membunuh mereka.

harga maksimum bagi dahing tempatan yang ditetapkan adalah RM32 (borong) manakala RM34 bagi runcit.

Bagaimanapun, Alexander memberi jaminan pihaknya akan memantau harga maksimum daging tempatan agar tidak berlaku peningkatan. – MalaysiaGazette