KUALA LUMPUR – Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam keadaan sihat walafiat dan masih seperti dulu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengunjungi bekas perdana menteri kelima itu hari ini berkata, lazimnya beliau akan menziarahi Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah dua kali sebulan.
Cuma sejak empat, lima bulan lalu saya tidak berkesempatan melakukannya lantaran situasi Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19.
”Ayahanda Tun Pak Lah sihat walafiat dan masih tetap seperti dulu. Ada sahaja gurau senda beliau tatkala kami mengimbau memori dan kenangan bersama.
”Semestinya juga perjalanan politik saya banyak dipandu dan dibentuk oleh beliau. Malah saya mewarisi satu legasi yang cukup besar yang telah dibina oleh beliau di Kepala Batas.
”Jasa dan bakti Ayahanda Tun Pak Lah kekal terpatri di Kepala Batas dan pastinya juga orang-orang Kepala Bataih cukup merindui Ayahanda Tun,” katanya yang berkongsi foto bersama Pak Lah buat orang-orang di Kepala Batas yang rindu dan sering bertanya tentang keadaan beliau.
Reezal berkata, mengambil barakah Ramadan ini, marilah kita sama-sama mendoakan agar Pak Lah serta isterinya, Tun Jeanne sentiasa dikurnia kesihatan yang baik dan dilindungi Allah sepanjang masa. – MalaysiaaGazette