Home Nasional PKP hanya untuk lokaliti dan dearah, kata Ismail Sabri

PKP hanya untuk lokaliti dan dearah, kata Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya akan melibatkan lokaliti dan daerah tertentu sahaja.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan PKP secara menyeluruh seperti sebelum ini.

“Kalau ada kes yang tinggi di kawasan tertentu, kita akan tutup ikut lokaliti dan daerah tertentu samada lokaliti itu adalah sekolah mahupun taman.

“Lebih besar adalah daerah, jadi setakat ini kita menggunakan konsep itu iaitu secara tertumpu kepada satu-satu kawasan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Mengulas mengenai langkah untuk menutup operasi sekolah di seluruh negara ekoran peningkatan drastik kes positif Covid-19, Ismail Sabri berkata, hanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja yang boleh membuat sebarang arahan berkenaan.

Kata Ismail Sabri, ia akan bersandarkan kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Di negeri-negeri tertentu, kalau ingin membuat tindakan samada tutup, buka atau tutup semua perlu bincang dengan KKM dan KPM.

“Saya harap negeri tidak mengambil keputusan sendiri untuk membuat keputusan tutup dan buka sekolah. Ini kerana ia di bawah KPM, kita tahu kebimbangan ibubapa dan negeri tapi lebih baik bincang dan mendapatkan nasihat daripada KKM,” katanya.

Selasa lalu, sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup, bermula semalam selepas kes jangkitan Covid-19 dikesan berlaku di sekolah terbabit.

Melalui surat pekeliling dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, arahan penutupan itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.

Kesemua sekolah terbabit diarahkan tutup mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sehingga satu tarikh yang dimaklumkan.

Ditanya mengenai apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan kepada individu yang didapati bersalah melanggar larangan rentas negeri, Ismail Sabri berkata, hanya pihak polis yang boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pesalah terbabit.

“Saya harap semua patuh kepada SOP , kalau tidak nanti yang akan terjejas adalah diri sendiri kerana tindakan pastinya akan diambil oleh pihak polis.

“Timbalan Ketua Polis Negara sudah memberikan amaran tersebut dan telah mengeluarkan apa syarat-syarat untuk setiap rentas negeri bagi individu yang ingin merentas negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette