Home Utama Sayu berpuasa tanpa Amir – Ibu angkat

Sayu berpuasa tanpa Amir – Ibu angkat

Ibu angkat kepada Zubaidi Amir Qusyairi, Norlida Abu Hassan, 51 melihat gambar dan potrait adik Amir di rumahnya di Bukit Sentosa Rawang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – “Puasa kali ini lain sangat, umi terlalu rindukan keletah Amir yang riuh dan sentiasa menceriakan suasana rumah,” kata Norlida Abu Hassan.

Menurut ibu angkat kepada Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek itu, ingatan terhadap arwah tidak pernah terpadam dan suaranya juga sentiasa terngiang-ngiang walaupun sudah hampir tiga bulan pemergiannya.

Jelas Norlida, Amir merupakan seorang anak yang sangat taat dan sentiasa menghiburkan mereka sekeluarga dengan kata-katanya yang bijak.

“Terlalu banyak kenangan kami sekeluarga berpuasa dengan Amir lagi-lagi dia memang suka bercakap dan kecoh tidak kira ketika berbuka puasa mahu pun bersahur.

“Amir akan bacakan doa berbuka puasa dan selepas itu cepat-cepat bersiap untuk ikut umi ke masjid menunaikan solat terawih.

“Umi memang latih dia untuk berpuasa tapi tidaklah memaksa kerana dia pun masih kecil lagi, jadi Amir akan berpuasa separuh hari namun dia enggan makan dan hanya akan minum. Tapi bila umi tanya, dia masih beritahu dia berpuasa, itu memang umi tak pernah lupa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bercerita lanjut, Norlida berkata, jika pergi ke bazar Ramadan, Amir amat menggemari roti john dan nasi ayam.

Sementara jika berbuka puasa di rumah, Amir memilih untuk makan nasi bersama ayam goreng.

“Dia memang tidak cerewet pasal makanan, tapi memang lebih suka ayam goreng. Amir memang suka sangat kalau kita bawa ke bazar Ramadan kerana dia akan pilih sendiri apa yang dia mahu,” ujarnya.

Norlida yang menetap di Taman Kemboja, Bukit Sentosa berkata, dia amat bersyukur kerana sempat menziarahi kubur arwah Amir di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Jasin, Melaka sebelum bermulanya Ramadan.

“Umi sempat ziarah kubur Amir dua kali pada awal April lalu dan sebelum kita berpuasa. Umi pergi pada hujung minggu untuk bersihkan kubur.

“Sebenarnya mahu bina kepok tapi imam di situ maklum supaya buat kemudian kerana risau tanah akan mendap akibat hujan.

“Rindu sangat pada adik Amir, kalau boleh umi mahu lawat kuburnya setiap hari tapi apakan daya lokasinya jauh.

“Bila terpandang baju arwah pun sudah buat umi menangis teresak-esak kerana perasaan umi ini masih terbayang dia masih ada di sini,” katanya lagi dalam nada sebak.

Kata Norlida, dia melepaskan rindu dengan menonton semula video-video Amir yang dirakam oleh adik-beradik angkatnya menerusi telefon pintar.

“Tak sangka tergerak hati kakak dan abangnya untuk merakam semua momen-momen bersama Amir, jadi bila rindu itulah yang kami tengok.

“Umi juga selalu tunaikan solat hajat dan minta kepada Allah supaya kes di mahkamah itu cepat selesai kerana siapa yang bersalah berhak terima balasan,” katanya.

Media pada 30 Januari lalu melaporkan seorang kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di anggota badan.

Kematian mangsa dilaporkan bapa tirinya kepada polis dengan mendakwa kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat lemas. – Malaysia Gazette