Home Nasional Anggota AADK cedera diseret motosikal penagih

Anggota AADK cedera diseret motosikal penagih

Anggota AADK Pulau Pinang cedera diseret motosikal penagih yang cuba melarikan diri dalam Ops Cegah di Kubang Semang di sini semalam.

BUKIT MERTAJAM – Seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang cedera akibat diseret dengan motosikal ketika menahan seorang penagih yang melarikan diri dalam satu operasi di Kubang Semang semalam.

Suspek berusia 28 tahun itu antara 11 penagih yang ditahan menerusi Ops Cegah dijalankan AADK selama dua hari yang berakhir hari ini.

Sarang penagih dadah di Kubang Semang digempur pihak AADK menerusi Ops Cegah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Aina Rafida Abu Bakar berkata, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut laju motosikal ditungganginya menyebabkan anggota berusia 26 tahun itu terjatuh dan terseret.

Jelas beliau, anggota berkenaan mengalami kecederaan pada tangannya manakala suspek berjaya ditahan.

Aina Rafida Abu Bakar.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif syabu. Selain suspek, 10 penagih lain turut ditahan di lokasi sama dan kesemua mereka turut positif syabu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan sama, Aina Rafida berkata, pihaknya turut menahan seramai tujuh penagih di sekitar Kuala Muda.

Sebahagian penagih yang ditahan AADK menerusi Ops Cegah di Kubang Semang dan Kuala Muda.

Kesemua mereka positif dadah jenis syabu dan kini direman mengikut Seksyen 4(1)(b). – MalaysiaGazette