KUALA LUMPUR – WKL Group (WKL) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pengeluar penghawa dingin mesra alam pertama di dunia yang memiliki teknologi terkini untuk mengubah sisa buangan yang dikeluarkan oleh pemeluwap penghawa dingin konvensional (unit luar) menjadi sejuk dan udara dilembapkan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WKL Group, Dr. Low Wai Koon berkata, produk itu dibangunkan melalui kajian dan pembangunan (R&D) yang dijalankan selama 12 tahun yang dikenali dengan jenama Evoair.
Produk ini disasarkan mendapat tempat di pasaran domestik dan global bersandarkan kepada permintaan yang semakin bertambah.
Beliau berkata, bagi memenuhi tempahan tersebut, kilang baharu syarikat yang terletak di Kepong, Kuala Lumpur bernilai RM5 juta diunjurkan menghasilkan antara 250 unit hingga 500 unit penghawa dingin sehari.
“Buat permulaan, kami mengunjurkan jualan di pasaran runcit adalah kira-kira 3,000 unit sebulan sehingga akhir tahun ini.
“Jualan untuk pasaran eksport pula akan dimulakan pada tahun depan dengan mengintai peluang untuk menembusi pasaran di Singapura, Kemboja dan Thailand, seterusnya ke China,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Evoair semalam.
Evoair ditawarkan pada harga antara RM1,900 hingga RM2,900 seunit membolehkan pengguna meletakkan pemeluwap penghawa dingin di balkoni, dapur atau di taman yang berfungsi sebagai unit penyejuk tambahan.
Mengulas lanjut, Wai Koon menerangkan, produk tersebut turut memberi penjimatan elektrik yang baik iaitu sekitar 20 peratus pada waktu pagi dan akan terus meningkat kepada 45 peratus menjelang waktu tengah hari.
Mengulas lanjut, Chan menerangkan, WKL mengunjurkan bakal menguasai pasaran antara lima hingga 10 peratus dalam industri pasaran tempatan menjelang dua tahun akan datang. – MalaysiaGazette