KOTA TINGGI – Malaysia menerima 268,800 dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, vaksin berkenaan yang diperoleh melalui fasiliti COVAX tiba di KLIA pada 8.20 malam.
Beliau berkata, ini merupakan penghantaran pertama bagi vaksin berkenaan yang pembeliannya dilaksanakan pada Disember lepas bagi kegunaan tiga peratus jumlah populasi negara.
Sementara itu, ditanya mengenai kebimbangan masyarakat terhadap vaksin berkenaan, Dr Adham berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah membuat keputusan untuk membeli vaksin itu hanya selepas mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (MPRA).
Beliau berkata, berdasarkan penelitian terhadap semua data daripada pengeluar dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), didapati kelebihan menggunakan vaksin tersebut adalah melebihi kemudaratan.
Bagaimanapun ketika ditanya kumpulan pertama yang akan menerima vaksin berkenaan, beliau berkata satu pengumuman akan dibuat pada Isnin ini.
“Pihak JKJAV, pakar klinikal dan pakar jangkitan akan memberi saranan kepada kumpulan yang akan kita berikan dan kenyataan mengenainya akan dibuat Isnin ini,” katanya. – MalaysiaGazette