Home Nasional Polis Johor tumpaskan dua sindiket dadah libatkan nilai RM3.16 juta

Polis Johor tumpaskan dua sindiket dadah libatkan nilai RM3.16 juta

Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah berikutan penahanan seramai 16 individu sepanjang minggu ini selain merampas pelbagai dadah bernilai RM3.16 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kes pertama membabitkan penahanan 10 ahli sindiket pengedaran dadah ‘Ah Chuan’ termasuk ketua mereka yang aktif sejak setahun lalu.

Penahanan suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 51 tahun itu dilakukan menerusi enam serbuan di daerah ini bermula 20 April sehingga semalam.

Ia susulan hasil soal siasat terhadap seorang individu yang ditahan yang kemudian membawa kepada pembongkaran sebuah stor pemprosesan serbuk ekstasi bersama sejumlah dadah dan peralatan memproses.

“Rampasan dadah pertama melibatkan sebanyak 49.3 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 2.1kg syabu, 450.5 gram (g) heroin, 3.8g ganja, 110g magic mushroom, 12.11g ketamin, 10 biji pil erimin 5 dan lima biji pil ekstasi.

“Kami dapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa kondominium berpagar dan berpengawal untuk dijadikan stor proses dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata polis turut menyita lima kenderaan dan dua akaun bank berjumlah RM1,583 selain wang tunai sebanyak RM2,175 dalam serbuan sama.

Bagi kes kedua, beliau memberitahu enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat wanita dan seorang lelaki warga China berusia 36 hingga 46 tahun ditahan menerusi empat serbuan di daerah ini dalam tempoh sama.

Katanya, bersama penahanan, polis merampas sebanyak 2.11kg syabu, 204g magic mushroom, 42g serbuk ekstasi, 6.8g ketamin, 95 biji pil erimin 5 dan 1,980 pil ekstasi dengan nilai keseluruhan RM126,457.

Selain itu, sebanyak tiga kenderaan dan wang tunai RM19,448 turut disita.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan ejen pengangkutan lori untuk menghantar dadah ke negara jiran dengan dadah dibungkus dan disembunyikan dalam kerusi kayu untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” kata Ayob Khan.

Kesemua individu yang ditahan kini direman selama tujuh hari sehingga 28 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA