KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menutup institusi pendidikan selama empat minggu agar Kluster Pendidikan dapat dihentikan secara total.
Namun, kerajaan perlu bersedia menyediakan kembali sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) agar anak-anak tidak tercicir, kata Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM).
Bagaimanapun, Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, malangnya, sehingga hari ini, masih tiada sinar untuk anak-anak mendapatkan 150,000 komputer riba yang dijanjikan pada Belanjawan 2021 yang kemudiannya diperjelaskan komputer itu diberikan dalam bentuk pinjaman.
“Adakah kerajaan bersedia dan belajar daripada pelaksanaan PdPR 1.0 dan 2.0 sebelum ini?,” soal beliau.
Tambahnya, Menteri Kanan Pendidikan juga masih tidak mengeluarkan sebarang pelan tindakan bagi menghentikan penularan Kluster Pendidikan COVID-19 di sekolah-sekolah.
Menurut beliau, Kluster Pendidikan adalah satu manifestasi bahawa ibu bapa tidak mempunyai pilihan dan guru-guru pula keletihan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin, tetapi kerajaan seolah-olah tidak mempunyai solusi terbaik untuk melindungi anak-anak ini.
Shahir berkata, walaupun SOP yang dijalankan di sekolah adalah sehabis baik namun jelas tidak berhasil dalam menangani
Kluster Pendidikan yang membimbangkan.
”Kasihanilah anak-anak, adik-adik, dan cikgu-cikgu kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette