SHAH ALAM – Melihat kepada perkembangan kes Covid-19 dalam negara yang masih tinggi, majoriti anak perantau sudah bersedia dan mempersiapkan mental untuk tidak beraya di kampung halaman buat kali kedua tahun ini.
Meskipun sedih tidak dapat beraya dengan ibu tercinta pada tahun ini, namun Aisyah Insyirah Mohd Syahir, 26 anak kelahiran Batu Pahat Johor, tetap menerima keadaan itu dengan hati terbuka.
Namun, guru muda ini tetap mahu memastikan ibunya di kampung berpeluang menyarung baju yang dibelinya menjelang Aidilfitri 13 Mei nanti.
“Saya rasa kali ini kita semua sudah tahu mungkin tidak boleh balik kampung. Jadi saya hanya beli apa yang boleh, baju raya untuk pakai pada hari pertama, itu sahajalah. Tidaklah bersemangat.
“Tadi pun cari baju untuk mak, nanti nak pos untuk mak. Kita fikir keluarga kita di sana sedihlah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bagi Nurfairuz Zaharun, 38 tahun, beliau dan suami tidak bersemangat untuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Sebaliknya katanya persiapan Aidilfitri untuk seisi keluarga pada tahun ini dibuat hanya ala kadar sahaja memandangkan tidak dapat beraya bersama keluarga mentua di Perak.
“Saya kena tunggu suami balik sebab kami pasangan jarak jauh, jadi masa kami membeli persiapan raya hanya hujung minggu. Bila hujung minggu memang terpaksa tempuh kesesakan macam hari ini.
“Tahun ini pun rasa tidak boleh rentas negeri lagi ni, jadi ala kadar sahajalah, ada baju raya dah kira baguslah. Semangat tidak macam sebelum-sebelum ini,” menurutnya.
Begitu juga dengan Nordaniel Safwan, 27, beliau datang ke Pusat Komersial Seksyen 7 hari ini sekadar mencuci mata, melihat apa yang boleh dibeli pada saat-saat akhir bulan Ramadan nanti.
“Sekarang ini datang untuk tengok-tengok dulu, kalau ada yang menarik baru belilah. Sebab selalu, saya membeli belah pada hujung waktu, tapi sekarang dah ramai, jadi datanglah tengok,” katanya.
Meskipun kampung halaman di Selangor, namun terbit rasa simpati pada Nordaniel kepada saudara Islam yang lain khususnya sebagai perantauan yang tidak dapat balik ke kampung masing-masing pada bulan Syawal nanti.
Rohailah Jaafar, 44 turut mengakui suasana menyambut Aidilfitri tahun ini tidak seperti dua tahun yang lalu.
Meskipun terdapat sedikit perbezaan apabila banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi, katanya, larangan rentas negeri memberi kesan kepada para perantauan.
“Tahun ini macam tahun lepas tidak terlalu beria sangat, memandangkan tahun ini masih PKP lepas tu banyak kedai tutup juga terkesan.
“Tahun ini persiapan ala kadar kita faham keadaan ekonomi sekarang tidak memberangsangkan, kemudian Covid-19 belum reda lagi jadi kalau kita masuk kedai pun memang ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) hadkan orang masuk.
“Kemeriahan kurang berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), macam tahun lepas tapi tahun ini ada sedikit lebih baik kita nampak berbanding tahun lepas,”tambahnya.
Pada 15 April yang lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan aktiviti rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri bulan depan ditangguhkan.
Ia susulan situasi penularan pandemik Covid-19 masih membimbangkan. – MalaysiaGazette