Home Nasional MKT UMNO desak sidang Parlimen, DUN kembali bersidang

MKT UMNO desak sidang Parlimen, DUN kembali bersidang

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2021.
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini mendesak kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia selaras dengan titah Yang Dipertuan Agong (YDPA) yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.
“Kerajaan tidak boleh dilihat cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen.
“Parlimen dan DUN adalah medan semak dan imbang dalam kalangan wakil-wakil rakyat agar kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Rakyat hari ini berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup rakyat dan harga barang yang meningkat,” katanya pada sidang media di lobi Menara Dato Onn, hari ini.
Dalam pada itu, MKT UMNO juga mendesak kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dijalankan semula.
“SOP khas harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan sebagaimana yang diamalkan di negara-negara seluruh dunia,” katanya.
Katanya lagi, selagi mana persidangan Parlimen dan DUN tidak diadakan, keyakinan pelabur asing dan kerjasama dengan negara luar sukar dipulihkan.
“Keyakinan dan kepercayaan pelabur terutamanya dari luar akan terus terhakis sekiranya amalan demokrasi berparlimen ini digantung sehingga tiada lagi aspek good governance dalam kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette