Home Nasional Pengeluar, pembekal tak terlepas jika ada peruncit ingkar SHMMP Hari Raya Aidilfitri

Pengeluar, pembekal tak terlepas jika ada peruncit ingkar SHMMP Hari Raya Aidilfitri

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam memeriksa harga telur ketika pemeriksaan skim harga maksimum musim perayaan di Pasar Awam Moden, Seksyen 6, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2021.

SHAH ALAM – Pembekal dan pengeluar tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan jika peruncit didapati gagal mematuhi penetapan harga maksimum barang kawalan.

Pengarah Penguatkuasa kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya akan memastikan tidak ada pihak yang akan terlepas daripada tindakan sekiranya melanggar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP 2021).

“Sekiranya di pihak pemborong kita dapati mereka dapat bekalan tinggi daripada pengeluar, kita akan teruskan siasatan.

“Itu konsep kita sekarang di mana semua pihak tidak akan terlepas sekiranya melanggar undang-undang yang kita tetapkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan lawatan pematuhan harga SHMMP HRP 2021 di Pasar Awam Moden Seksyen 6, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini terdapat empat kesalahan menjual barang kawalan dengan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan.

“Sehingga semalam kami telah membuat pemeriksaan kepada 8,437 premis di seluruh negara melibatkan borong dan runcit. Empat aduan, dua di Selangor satu di Kedah dan satu di Perak.

“Tindakan lapan, empat jual lebih harga yang ditetapkan dan empat lagi tidak meletakkan tanda harga,” ujarnya.

Empat kesalahan ini, katanya, akan disiasat secara lanjut sehingga ke peringkat pembekal dan pengeluar.

Mengulas lanjut Azman memberitahu, memasuki hari kelima SHMMP HRP 2021 hari ini, kementerian itu meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan kepada lebih banyak premis di seluruh negara untuk memastikan tidak ada isu kenaikan harga berlanjutan sehingga menjelang Aidilfitri nanti. .

“Kalau setiap pihak patuh, semua pihak akan dapat berniaga dengan mendapat keuntungan melalui margin yang ditetapkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette