Home Nasional PKPD: Lima lokaliti di Besut dilanjutkan

PKPD: Lima lokaliti di Besut dilanjutkan

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak, Mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu sehingga 4 Mei ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas beliau, setakat ini, sebanyak 107 kes positif Covid-19 telah direkodkan melibatkan kesemua lokaliti tersebut hasil 2,077 ujian saringan yang telah dilaksanakan oleh KKM.

“KKM turut melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dengan 22 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat serta terdapat 160 sampel yang sedang menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak, Mukim Hulu Besut, Besut yang dijadualkan tamat pada 27 April ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah bermula esok sehingga 9 Mei ini.

Jelas beliau, KKM hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kawasan itu.

Katanya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak enam kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah sehingga 9 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke
komuniti luar,” katanya. – MalaysiaGazette