Home Sukan Tiada guna menang dengan JDT, pasukan lain tewas – Nafuzi

Tiada guna menang dengan JDT, pasukan lain tewas – Nafuzi

Foto Facebook Terengganu Football Club.

KUALA LUMPUR – Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berkongsi rahsia kejayaan selepas skuad bimbingannya meleburkan rekod tanpa kalah JDT apabila menang 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Katanya, tiada resepi khas untuk menewaskan tuan rumah sebaliknya tuah dan rezeki memihak kepada TFC.

Malah katanya, persiapan dilakukan untuk menentang skuad kendalian Benjamin Mora sama seperti dilakukan berdepan pasukan lain, mungkin nasib menyebelahi TFC membawa pulang tiga mata penting sebaik tamat perlawanan.

“Bagi saya tiada guna untuk bersungguh-sungguh tewaskan JDT tapi dengan pasukan lain kami gagal capai kemenangan. Apa yang hendak saya katakan rezeki memihak kepada kami malah pemain bermain dengan disiplin yang tinggi.

“Apa yang saya lihat motivasi pemain apabila berdepan JDT secara automatik nampak bersedia dan memberi persaingan baik dan itu yang saya mahu, bukan sahaja berdepan JDT tapi dengan pasukan lain juga pemain harus ada semangat begitu.

“Tak dinafikan secara keseluruhan permainan dikuasai JDT tapi kami ambil kesempatan daripada sedikit kesilapan yang dilakukan di benteng pertahanan mereka bagi menjaringkan gol dan kami bertahan dengan jaringan itu sehingga tamat perlawanan,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.

Mengulas mengenai persembahan pemain import, David Da Silva, Nafuzi menegaskan pemain itu masih belum cergas sepenuhnya walaupun sudah beraksi tiga perlawanan berturut-turut dan dia perlukan sedikit masa mempamerkan aksi sebenar pemain itu.

Nafuzi juga mengulas mengenai tindakan mengeluarkan tonggak pertahanan, Carlos de Murga selepas pemain kebangsaan Filipina itu mengalami kecederaan dan terpaksa mempertaruhkan kelibat pemain tempatan mengemudi benteng skuad Penyu.

“Carlos mengalami kecederaan dan tidak dapat teruskan permainan. Dia juga sudah terlepas dua kali latihan kerana kecederaan dan saya masukkan Shahrul Nizam (Ros Hasni) menggantikannya dan jejas pemain itu beraksi dengan baik mengekang dan mengawal pergerakkan Bergson (Da Silva),” kata Nafuzi. – MalaysiaGazette