Home Seni Hidup Air Kathira Abu Bakar muncul setahun sekali

Air Kathira Abu Bakar muncul setahun sekali

Pengusaha Air Kathira Radziah Abu Bakar,rwah bapanya, Abu Bakar Mohammed Eusoff sejak tahun 1988 lagi di Johorr Bahru.

JOHOR BAHRU – Campuran buah-buah kering seperti kembang semangkuk, buah kabong dan juga kurma menjadikan Air Kathira Abu Bakar mempunyai keistimewaan tersendiri.

Air Kathira Abu Bakar sememangnya menjadi menu wajib bagi orang Johor setiap kali tiba bulan Ramadan.

Manakan tidak, air ini hanya boleh dirasai hanya setahun sekali bila tiba musim bulan Ramadan sahaja.

Pengusahanya, Radziah Abu Bakar, 48, berkata, air popular yang terkandung lapan jenis bahan utama di dalamnya dihasilkan arwah bapanya, Abu Bakar Mohammed Eusoff sejak tahun 1988 lagi.

Ia boleh didapati di kedai atau Bazar Ramadan di Taman Dahlia, Kampung Melayu, Amart Kempas dan Taman Suria sepanjang bulan Ramadan.

Menurut Radziah, air istimewa ini tidak dijual pada bulan lain dan hanya dijual setahun sekali iaitu pada bulan Ramadan.

“Kami adik-beradik berpegang kepada pesanan arwah ayah, bahawa Air Kathira Abu Bakar hanya boleh dijual pada bulan Ramadan sahaja. Ayah cakap supaya orang boleh rasa rindu mahu menikmati air. Jika dijual setiap hari, tiada keistimewaannya.

“Sejak arwah ibu meninggal 10 tahun lalu, kami adik-beradik mengusahakan perniagaan ini dan tetap berpegang kepada wasiat ayah.

“Istimewa air ini, terdapat lapan bahan yang digunakan antaranya buah semangkuk, kurma, badam, kabung, kismis, kathira, agar-agar dan biji selasih.

“Arwah ayah belajar resepi ini dari Pakistan kemudian diolah mengikut cita rasa tempatan yang kekal sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Kampung Plentong Tengah hari ini.

Ada tiga saiz bungkusan Air Kathira Abu Bakar iaitu plastik 450 milliliter, botol 500 mililiter dan botol 1.5 liter yang dijual pada harga RM4-15.

Menurut anak sulung dari lima beradik, Radziah berkata, dia memerlukan masa lima bulan untuk persediaan barangan kerana ada bahan utama yang diimport dari India.

Katanya dia dan adiknya, Maarup Abu Bakar, 40, tidak akan membancuh Air Kathira Abu Bakar sekiranya tidak cukup bahan walaupun satu sahaja daripadanya.

“Kami ada juga dapat permintaan dari luar Johor yang mahu merasa air ini. Bagi memenuhi permintaan, kita hantar air ini tiga hari sekali bagi menghadkan pergerakan sewaktu PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

“Proses membancuh dan membungkus berjalan 24 jam. Bagi sebelah pagi, untuk pasaran dalam negeri. Manakala untuk malam penghantaran ke Pahang, Kuala Lumpur, Terengganu dan Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette