Home Nasional ILTC dakwa Borang Kajian Semula JKM menafikan hak OKU

ILTC dakwa Borang Kajian Semula JKM menafikan hak OKU

Presiden Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia, G. Francis Siva bercakap kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun diiringi mengenai kajian semula Jabatan Masyarakat menafikan hak OKU di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) hari ini mendakwa Borang Kajian Semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan hak Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapatkan bantuan yang sebelum ini telah diterima.

Presidennya, G. Francis Siva berkata, akibatnya ada OKU yang mendakwa bantuan bulanan mereka ditamatkan secara tiba-tiba tanpa penjelasan.

“Dengan pengenalan sistem kajian semula ini, maka ramai warga OKU yang sebelum ini menerima bantuan bulanan JKM tiba-tiba mendapati bantuan bulanan mereka dihentikan tanpa sebab,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat nengadakan pertemuan dengan  Datuk Seri Rina Mohd Harun bagi menyerahkan memorandum berhubung perkara tersebut.

Siva turut mendakwa, seramai 10 orang warga OKU pada 30 Mac 2021 menerima layanan buruk dari kakitangan JKM ketika hadir untuk meminta pengesahan mengenai bantuan mereka yang ditamatkan.

Menurutnya, adalah tidak wajar untuk mengarahkan warga OKU mendaftar semula dengan Borang 20 Kajian Semula dalam keadaan pandemik ini.

“Kami dilayan teruk dan diintimidasi oleh polis. Kami ingin tahu kenapa polis dipangil oleh JKM pada masa itu. Sebilangan lapan orang berkerusi roda dan dua yang hadapi kesukaran berjalan telah mengalami trauma oleh peristiwa ini.

“Ini yang kami sampaikan kepada Datuk Seri Rina Harun tadi. Adakah pekerja JKM mengikuti polisi dan kod etika JKM semasa menjalankan tugas mereka?” soalnya.

Rina ujar Siva ketika pertemuan itu menyuarakan kekesalannya terhadap apa yang berlaku dan memberi jaminan akan menyiasat insiden yang berlaku pada 30 Mac yang lalu itu.

Tambah Siva, ILTC akan mengadakan pertemuan lanjutan dengan Rina pada masa akan datang untuk memuktamadkan isu ini.

Sementara itu, Rina ketika ditemui MalaysiaGazette selepas pertemuan dengan ILTC enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, menerusi memorandum yang diserahkan, ILTC mencadangkan agar KPWKM menambah pegawai dan pekerja sosial JKM  untuk melawat kediaman golongan OKU yang sebelum ini menerima bantuan.

Badan itu turut menggesa agar birokrasi untuk bantuan OKU dihentikan.-MalaysiaGazette