Home Politik Zahid sedih semua kru KRI Nanggala 402 meninggal dunia

Zahid sedih semua kru KRI Nanggala 402 meninggal dunia

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa sedih berhubung insiden yang menimpa kapal selam tentera Indonesia, KRI Nanggala 402 apabila ditemui pecah di dasar laut perairan Bali dengan kesemua 53 kru disahkan meninggal dunia.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid menyatakan berdukacita selepas menerima perkhabaran yang disampaikan Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto pada sidang medianya, semalam.

“Sedih menerima perkhabaran berhubung penemuan kapal selam tersebut pada kedalaman 838 meter di dasar laut di perairan Bali.

“Semoga ahli keluarga 53 kru kapal tabah menerima ujian Allah SWT di bulan yang mulia ini.

“Saya juga mendoakan semoga perajurit yang terkorban diterima segala amal kebajikan dan ditempatkan dalam kalangan syahid,” katanya di laman sosial itu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional memaklumkan beliau sebelum ini sentiasa mengikuti rapat perkembangan kapal selam tersebut dan berdoa semoga urusan pencarian dipermudahkan selain semua kru ditemui selamat.

“Tetapi apakan daya percaturan Allah SWT mengatasi segala-galanya. Berkongsi kesedihan ini, saya mewakili seluruh kepimpinan UMNO merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo atas insiden yang berlaku,” katanya.

Semalam Tjahjanto, mengesahkan kesemua 53 kru kapal selam berkenaan sudah meninggal dunia malah beliau turut menjangkakan akan menemui lebih banyak lagi serpihan kapal selam KRI Nanggala 402 pada hari ini.

Terdahulu, misi pencarian menemukan beberapa peralatan termasuk sebuah sauh dan sut keselamatan yang dipakai oleh kru. – MalaysiaGazette