CABUTAN gigi adalah langkah terakhir di dalam sesuatu rawatan pergigian.Doktor gigi akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan gigi tidak dicabut selagi ianya boleh diselamatkan.Kenapa ianya harus begitu? Ini kerana tiada apa yang boleh menandingi kekuatan, kecantikan,kenikmatan ketika mengunyah atau menggigit menggunakan gigi asal (terima kasih pada saraf dan ligament periodontal yang menyokong gigi agar sentiasa teguh di soket!).
Ciptaan Allah adalah sebaik-baik ciptaan yang ada di dunia ini. Hakikat ini tidak dapat disangkal lagi. Akan tetapi di dalam situasi tertentu, cabutan gigi tidak dapat dielakkan. Cabutan gigi dilakukan secara bius setempat atau am, bergantung kepada keadaan pesakit tersebut. Bilakah gigi perlu dicabut?
Cabutan perlu dilakukan apabila ianya tidak boleh diselamatkan lagi secara tampalan biasa, rawatan korona, rawatan kanal akar atau apabila gigi itu terlalu goyang dan boleh membahayakan pesakit jika tertelan atau memasuki saluran pernafasan. Adakalanya, cabutan gigi terpaksa dilakukan di atas alasan rawatan kesihatan.Seperti sebelum memulakan rawatan ortodontik (pendakap gigi),rawatan kanser, pembedahan jantung dan sebagainya.Jika cabutan gigi dilakukan pada pesakit yang sihat,ia tidak banyak
menimbulkan komplikasi.
Tetapi jika pesakit itu mengambil ubat-ubatan tertentu sebagai contoh ubat ‘pencair darah’ seperti Warfarin, Aspirin, Dabigatran atau Clopidogrel, risiko pendarahan yang lebih lama itu wujud dan cabutan gigi perlu dilakukan mengikut garis panduan khas bergantung kepada jenis ubat yang telah ditetapkan badan profesional berkaitan. Garis panduan ini juga diguna pakai bagi pesakit yang mengalami masalah haematology seperti Haemophilia dan sebagainya.
Mencabut gigi selalunya kedengaran amat menggerunkan.Tetapi jangan takut , doktor yang membuat cabutan gigi ini sudah terlatih.Bukan sahaja dari aspek cabutan,malah juga terlatih dalam mengawal masalah-masalah yang mungkin akan berlaku selepas cabutan.Apakah komplikasi-komplikasi yang mungkin akan berlaku selepas cabutan.?Perkara ini akan disentuh di dalam penulisan akan datang, insyaAllah.
Perlu diingatkan untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi ini dari berlaku selepas
cabutan, pesakit perlulah mematuhi nasihat serta arahan dari doktor. Selepas gigi dicabut,apakah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh pesakit?
1.Kapas perlu digigit dengan betul
Kapas (gauze) yang diletakkan di tempat cabutan perlulah digigit sekurang-kurangnya 30 minit atau sehingga pendarahan telah berhenti.Kapas ini sememangya bertujuan untuk menghentikan pendarahan dan seterusnya membolehkan darah beku terbentuk.
Darah beku ini amat penting bagi tujuan mengelakkan jangkitan dan penyembuhan berlaku tanpa sebarang komplikasi.Akan tetapi,jika kapas itu telah penuh dengan darah,pesakit perlulah menukar dengan kapas bersih yang baru.Teruskan
menggigit sehingga pendarahan berhenti.
2. Makan ubat penahan sakit.
Selalunya doktor akan memberikan ubat penahan sakit seperti paracetamol atau sebagainya.Jenis ubat penahan sakit bergantung kepada jenis cabutan yang dilakukan.Adakah ia cabutan mudah atau sukar? Adakah ia cabutan biasa atau cabutan secara pembedahan kecil?.
Ubat penahan sakit boleh diambil sebelum atau selepas sahaja cabutan dilakukan tanpa perlu menunggu kesan bius itu hilang.Dan mengikut kajian, kaedah ini mampu mengurangkan sakit lebih berkesan berbanding jika ubat penahan sakit di ambil ketika kesan bius sudah hilang atau sakit mula terasa.
3. Elakkan berkumur-kumur secara kasar atau berludah.
Berkumur-kumur itu bagus kerana ia dapat membersihkan rongga mulut kita.Akan tetapi jika anda baru sahaja mencabut gigi,ianya perlu dielakkan jika boleh,selama 24 jam .Ini adalah kerana ketika berkumur,darah beku yang menutupi soket cabutan itu mungkin tertanggal. Ini boleh menyebabkan pendarahan yang telah berhenti pada mulanya akan berlaku semula.
Selain itu,soket yang terdedah juga meningkatkan risiko jangkitan. Jika anda mahu berkumur-kumur dengan air garam suam (boleh membunuh kuman dan mempercepatkan proses penyembuhan),lakukan ia selepas 24 jam. Jika anda merasakn mulut penuh dengan air ludah,telan sahaja ya. Air liur anda juga, tidak apa yang perlu digelikan.
4. Anda perlu berehat
Anda perlu berehat untuk sehari dua selepas cabutan.Jika anda masih perlu berkerja,hanya lakukan kerja-kerja yang ringan.Jika tidak mampu,doktor akan memberi sijil sakit.Jika anda melibatkan diri dengan aktiviti yang lasak atau aktif,dikuatiri pendarahan dari soket cabutan akan berlaku.
5. Aspek pemakanan dan minuman dalam masa 24 jam
Elakkan mengambil makanan atau minuman yang panas selepas cabutan.Ini kerana besar kemungkinan ia akan mencederakan mukosa mulut lebih-lebih lagi jika kesan bius belum hilang. Makanan dan minuman panas juga akan mengakibatkan pendarahan semula serta iritasi pada soket cabutan.
Iritasi akan memperlahankan proses penyembuhan.Anda digalakan untuk mengambil makanan yang lembut serta minuman yang sejuk.Minuman sejuk dapat mempercepatkan proses penyembuhan dan mengurangkan iritasi.
Akan tetapi,suka diingatkan bahawa,anda perlu mengelakkan minum
menggunakan penyedut minuman (straw). Ini kerana “negative pressure” yang terhasil ketika menyedut air menggunakan penyedut minuman juga akan “menyedut” keluar darah beku dari soket cabutan dan seterusnya menyebabkan pelbagai komplikasi boleh berlaku seperti pendarahan,masalah soket kering (dry socket) dan juga jangkitan.Anda boleh menggunakan sudu atau minum terus dari gelas.
6.Jangan diganggu tempat cabutan.
Elakkan daripada ‘mengganggu’ Kawasan cabutan menggunakan jari atau lidah.Sudah pasti selepas cabutan gigi,mesti ramai pergi ke cermin dan periksa soket cabutan menggunakan jari atau lidah untuk memastikan tiada serpihan gigi yang tinggal.Jangan risau,doktor akan berkata jujur jika ada serpihan akar gigi yang tertinggal (akar gigi boleh dibiarkan sahaja di dalam keadaan-keadaan tertentu).
Jika anda masih musykil, anda boleh kembali ke klinik. Jari anda mungkin tidak bersih, maka selain boleh mengakibatkan darah beku tertanggal,risiko untuk berlakunya jangkitan juga akan meningkat.
7.Elakkan merokok
Anda perlu berhenti merokok buat sementara,jika berhenti terus ianya adalah lebih baik.Kandungan-kandungan di dalam rokok itu sendiri boleh mengakibatkan proses penyembuhan terganggu dan seterusnya risiko jangkitan menjadi tinggi.Merokok juga tidak baik bukan sahaja kepada kawasan cabutan,ia juga mempengaruhi kesihatan mulut secara amnya.Pesakit juga akan terdedah kepada risiko penyakit seperti gingivitis, periodontitis malah kanser mulut.
8.Letak bantal ketika berbaring
Jika berbaring,anda digalakkan untuk meletakkan bantal dikepala.Ianya dapat mengurangkan risiko pendarahan
9.Teruskan penjagaan higin mulut yang baik
Anda masih perlu untuk pastikan tahap higin mulut berada di dalam keadaan yang terbaik.Anda masih perlu memberus gigi, lidah dan gusi tapi elakkan memberus di soket cabutan.Dengan higin mulut yang bersih,risiko jangkitan pada kawasan cabutan dapat dikurangkan.
Jika anda mengikuti tip-tip yang diberikan di atas,insyaAllah kawasan cabutan anda akan sembuh tanpa sebarang masalah yang timbul.Namun ada kalanya, pesakit perlu segera kembali berjumpa dengan doktor gigi jika mengalami situasi seperti berikut:
1.Pendarahan yang banyak dan belum berhenti selepas beberapa jam cabutan.Anda perlu segera kembali ke klinik di mana cabutan dilakukan bagi mengenalpasti masalah sebenar.Jika di luar waktu pejabat,anda boleh pergi ke Jabatan Kecemasan hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
2.Sakit yang teruk selepas beberapa hari di Kawasan cabutan.Selalunya sakit selepas cabutan akan berkurangan.Namun jika ia mula muncul beberapa hari selepas cabutan,ianya perlu diberikan perhatian.Besar kemungkinan ianya “dry socket” ataupun jangkitan(jika terdapat nanah di kawasan cabutan disertai dengan symptom demam).Jangkitan jika tidak dirawat ianya akan menyebabkan masalah lebih besar boleh berlaku
Oleh: Dr. Mohamed Hisham Mohamed Jali & Dr. Ahmad Dzulfikar Samsudin
Pensyarah & Pakar Bedah Mulut & Maksilofasial
Fakulti Pergigian,Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM)
Gigi berlubang jangan dicabut cuma tempel jer or dental filling. Begitu juga gigi depan yang tobek jangan dikikis rata jadi lebih pendek sebab kini ada teknology boleh filling gigi depan yang tobek juga.