SHAH ALAM – Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Selangor hari ini.
Bubur lambuk berkenaan adalah sumbangan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menerusi program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dengan kerjasama Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).
Hadir ketika program berkenaan, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed yang menyifatkan program seperti itu baik untuk merapatkan lagi ukhuwah dan jalinan di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat pelbagai lapisan.
“Pengagihan ini sangat baik bagi merapatkan ukuwah sesama kita khususnya di antara warga Bernas, CSR dan ERA dengan polis.
“Saya mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kerana telah berbesar hati membelanja bubur lambuk,” katanya ketika berucap di Surau Khalid Al-Walid, IPK Selangor, di sini, hari ini.
Selain Bernas yang memberikan bubur lambuk, CSR turut menyumbang barangan makanan keperluan harian.
Dalam pada itu Ketua Kewangan CSR, Mohd Azahar Mohd Salleh berkata, pemberian daripada pihak korporat hari ini merupakan penghargaan kepada anggota polis sebagai barisan hadapan yang banyak berjasa untuk negara.
“Sesungguhnya usaha bakti polis tidak ternilai dan tidak terbalas kami harap apa yang kami lakukan ini mampu menyerikan Ramadan anggota polis di sini yang bertugas di bulan ini,” katanya.
Turut hadir ketika program Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Shahrul Lalli Masduki dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.-MalaysiaGazette