GEORGE TOWN – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok tumbang dalam satu kejadian di Jalan Perak di sini hari ini.
Kejadian jam 9.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Yong Geeng Huei, 53, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 9.38 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba kita dapati sebatang pokok dengan ukur lilit dua meter telah tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu dan usaha mengeluarkannya mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit.
“Pihak bomba mengalami kesulitan mengeluarkan mangsa susulan dahan pokok tersebut besar sekali gus menyukarkan kerja pemotongan dilakukan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Operasi pemotongan pokok tersebut turut dibantu Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam serta bomba sukarela.
Tambah A’azelan, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11.15 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Yong, 55, berkata, adiknya itu dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Dia bekerja sebagai mekanik kenderaan dan mereka sekeluarga tidak menyangka adiknya terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya yang enggan mengulas lanjut. – MalaysiaGazette
Pemandu kereta dikhuatiri maut akibat dihempap pokok tumbang