Home SISWA Penuntut UiTM Melaka bersyukur terima komputer riba

Penuntut UiTM Melaka bersyukur terima komputer riba

Para penuntut UiTM Kampus Melaka menunjukkan komputer yang diterima daripada Tabung Haji.

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut UiTM Melaka,  Puteri Nurshahira, 22, bersyukur apabila dipilih antara 30 penerima komputer riba sumbangan Lembaga Tabung Haji.

Dia yang juga anak yatim piatu kini menetap bersama nenekya di Bukit Baru selepas ibu dan ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dia berusia tiga tahun.

"Biasanya saya meminjam komputer riba rakan atau bapa saudara kerana komputer lama yang digunakan sering rosak dan tidak mampu membeli komputer baharu. Jika tugasan kami bertembung, saya terpaksa belajar menerusi telefon bimbit sahaja,” ujar Puteri.

Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada lebih 500 unit komputer riba  daripada Zakat korporat Tabung Haji kepada pelajar-pelajar asnaf miskin UiTM di seluruh negara.

Penyerahan ini disempurnakan oleh Profesor Dr. Abd Halim Mohd Noor, Rektor UiTM Melaka.

Abd Halim Mohd Noor dalam ucapannya meminta pelajar-pelajar yang menerima sumbangan itu memanfaatkan sebaik mungkin komputer riba tersebut khusus untuk tujuan pembelajaran.

Selain ianya merupakan impian dan hasrat daripada penyumbang, ia juga adalah daripada harta zakat yang sepatutnya digunakan untuk tujuan dan dengan cara yang baik.

”Kita mengharapkan pelajar menjaga sebaik mungkin komputer riba ini, seterusnya memanfaatkan sumbangan dari tabung zakat ini tujuan sesi pembelajaran.

”Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada para pelajar yang terlibat untuk berusaha dengan lebih gigih khususnya dalam mempertingkatkan prestasi dan pencapaian akademik masing-masing,” katanya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tabung Haji atas usaha murni dan sumbangan yang tidak ternilai ini. – MalaysiaGazette