Home Ekonomi IHPR Mac naik 6.7%

IHPR Mac naik 6.7%

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan bagi bulan Mac 2021 terus meningkat dengan pertumbuhan 6.7 peratus.

Angka itu 4.0 mata lebih tinggi daripada 2.7 peratus yang dicatatkan pada bulan lalu, malah ia adalah kenaikan tertinggi sejak Ogos 2017.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, pertumbuhan ini didorong oleh kenaikan indeks perlombongan yang melonjak 32.0 peratus berbanding negatif 11.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Indeks pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan paras pertumbuhan baharu yang tinggi 41.1 peratus kerana komoditi mencatatkan harga lebih tinggi pada bulan ini.

Menurutnya, indeks pembuatan juga mencatatkan kenaikan 2.2 peratus disebabkan oleh kenaikan harga komoditi petroleum dan pertanian.

Tetapi indeks bekalan elektrik dan gas & bekalan air masing-masing mencatatkan penurunan 1.4 peratus dan 0.1 peratus.

Jelas beliau lagi, bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 0.7 peratus pada Mac 2021, berkurangan daripada 1.5 peratus pada Februari 2021.

Kesemua empat indeks meneruskan momentum pertumbuhannya iaitu pertanian, perhutanan & perikanan (2.3%), perlombongan (1.0%), bekalan elektrik & gas (0.8%) dan pembuatan (0.6%).

Sementara itu, indeks bekalan air turun 0.2 peratus.

Mohd Uzir berkata, IHPR pengeluaran tempatan bagi suku pertama 2021 naik 3.0 peratus kepada 108.5 berbanding 105.3 pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan kenaikan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (32.6%), pembuatan (1.6%) dan bekalan air (0.4%).

Indeks perlombongan dan bekalan elektrik & gas masing-masing mencatatkan penurunan 7.3 peratus dan 1.7 peratus.

Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 5.1 peratus berbanding 2.0 peratus pada suku
keempat 2020. – MalaysiaGazette