KUALA LUMPUR – Lagi kes cubaan mencabul wanita di Taman Limau Manis, Kota Bharu, Kelantan.
Kejadian yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) tular di Twitter semalam.
Dalam rakaman itu menunjukkan seorang wanita diganggu lelaki berbaju hijau yang menaiki basikal sambil memegang seluar pada bahagian kemaluannya.
Wanita itu diganggu ketika dia masih berada di dalam kereta.
Namun lelaki itu terus beredar selepas kawasan itu sesak dengan kenderaan.
Wanita itu kemudian segera keluar daripada kereta dan melarikan diri namun lelaki berbasikal itu berpatah balik dan mengejarnya dari belakang.
Situasi mencurigakan itu dikesan oleh seorang pemandu kereta Myvi berwarna putih dan menegur lelaki berkenaan.
Wanita itu segera menjelaskan situasi yang berlaku kepada pemandu tersebut lalu melarikan diri sebaik sahaja lorong itu semakin sesak dengan kenderaan.
Lelaki berbaju hijau itu bertindak mengayuh basikalnya dan selepas menyedari taktik dan cubaannya gagal..
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet kerana lokasi tersebut merupakan kawasan panas atau ‘hotspot’ kes gangguan ke atas wanita.
Rata-rata warga maya meminta polis membuat rondaan atau pemantauan di kawasan itu bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi.
Baru-baru ini, tular di media sosial, seorang lelaki bermotosikal mencabul seorang wanita yang berjalan kaki dengan meraba punggungnya dari belakang di Taman Limau Manis, Kota Bharu.
Lelaki tersebut yang berusiaa 52 tahun telah didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu. – MalaysiaGazette