Home Nasional Mengapa sabitkan Najib, dia bukan pengarah SRC – Shafee

Mengapa sabitkan Najib, dia bukan pengarah SRC – Shafee

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya .Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Pembelaan kes rayuan SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan penyewelangan dana RM42 juta oleh Datuk Seri Najib Razak meneruskan hujah balas di Mahkamah Rayuan hari ini.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan bela Najib hari ini melahirkan rasa hairan bagaimana bekas perdana menteri itu didapati bersalah menyeweleng dana milik SRC.

Hujah Muhammad Shafee, bukan sahaja Najib tidak ada kepentingan dalam syarikat itu seperti tuduhan pendakwaan sebaliknya anak guamnya juga bukanlah berjawatan Pengarah atau ‘shadow director’ dalam SRC.

Jelas Muhammad Shafee, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang memutuskan Najib bersalah sebenarnya telah guna pakai konsep undang-undang England (common law).

Terangnya, Mohd Nazlan telah menggunakan konsep undang-undang statut itu untuk jawatan ‘shadow director’ menyabitkan Najib dengan kes penyewelengan ini.

“Najib tidak pernah jadi pengarah mahupun ‘shadow director’ dalam SRC sebelum ini.

“Walaupun Seksyen 402A Kanun Keseksaan memberi definisi jawatan pengarah itu seperti serupa dengan pengarah bayangan tetapi ianya tidak pula sama dengan di England.

“Anak guam saya bukanlah orang dalam mahupun pengarah atau pengarah bayangan yang boleh disabitkan dengan pecah amanah seperti termaktub bawah Seksyen 402A itu,” katanya ketika prosiding hari ke-14 hari ini.

Muhammad Shafee Abdullah

Beliau berkata demikian di hadapan tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang dalam rayuan mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan SRC.

Hujah Muhammad Shafee lagi, pendakwaan juga tidak menyebut secara terperinci tentang elemen-elemen pecah amanah sehingga menyabitkan Najib dengan tuduhan.

“Hakim juga secara tidak adil telah menjatuhkan hukuman itu dengan mengadaptasikan undang-undang statut England terhadap anak guam saya,” ujarnya.

Hakim Mohd Nazlan ketika membacakan keputusan akhir pernah menyebut Najib yang juga bekas menteri kewangan adalah pengarah bayangan yang mempunyai pengaruh besar dalam SRC International.

Prosiding masih lagi berjalan ketika ini. -MalaysiaGazette