KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 295 individu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam operasi pematuhan di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 288 individu dikenakan kompaun manakala tujuh lagi direman.
Menurutnya, antara kesalahan yang direkodkan ialah gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (175), tidak memakai pelitup muka (71) dan terbabit dengan aktiviti pusat hiburan (empat).
“Kesalahan lain yang turut direkodkan termasuk tiada penjarakan fizikal (empat), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (dua) dan lain-lain kesalahan (39),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, pasukan petugas Operasi Pematuhan diketuai PDRM semalam, turut membuat pemantauan di 4,290 pasar raya, restoran (5,236), kilang (1,851), bank (4,105), pejabat kerajaan (1,192) dan penjaja (4,281), semalam.
Turut dipantau ialah pasar awam dan pasar tani (2,175), tempat ibadah (3,117), tempat riadah (1,638), terminal pengangkutan darat (1,307), terminal pengangkutan air (332) dan terminal pengangkutan udara (119).
Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), Ismail Sabri berkata, tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan empat kenderaan darat dirampas, semalam selain mengesan kehadiran 159 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.
“Semalam, sebanyak 100 operasi sanitasi dilakukan meliputi 39 zon merah, zon jingga (tujuh), zon kuning (sembilan) dan zon hijau (satu) di seluruh negara.
“Operasi sanitasi membabitkan 599 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 150 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 102 buah jentera JBPM,” ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, seramai 7,712 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa kini sedang menjalani proses kuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara termasuk 817 individu yang baharu tiba ke tanah air, semalam.
Ujarnya, seramai 668 warga asing turut menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, dua orang didapati positif Covid-19. – MalaysiaGazette