Home Seni Hidup Siti cipta lagu Anakanda untuk Muhammad Afwa

Siti cipta lagu Anakanda untuk Muhammad Afwa

Foto Instagram Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Lagu Comel Pipi Merah menjadi sebuah lagu trending pada tahun 2018 selepas penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza mengabadikan lagu ciptaannya untukĀ  Siti Aafiyah.

Siti yang selamat melahirkan anak kedua pada 19 April lalu turut mencipta sebuah lagu berjudul Anakanda yang dituju khas buat puteranya yang bernama Muhammad Afwa.

Lagu Anakanda dimuatkan dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April lalu.

Lagu ciptaan Siti sendiri dan lirik oleh Rozisangdewi merupakan sebuah lagu yang berunsurkan rentak inang.

Album Legasi diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd dan edaran digital oleh Universal Music Malaysia.

Menurut Siti, beliau mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham sebuah lagu khas untuk anak yang bakal dilahirkan.

Siti memilih rentak inang bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album lagu kanak-kanak klasik, Legasi. Lagu ini diterbitkan oleh Pown Hasril.

”Lagu Anakanda ini merupakan lagu paling akhir saya rakamkan untuk album Legasi. Apabila memutuskan untuk memasukkan lagu Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi, saya terfikir untuk mencipta sebuah lagu khas dan baharu buat anak yang bakal lahir,” jelas Siti.

Tambah beliau, Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki serta mahu menerapkan sisi bertanggungjawab terhadap orang sekeliling.

”Melagukan lirik yang positif, bermoral dan menerapkan asas yang baik juga membantu perkembangan minda anak-anak. Anakanda bukan sahaja bentuk harapan yang dilagukan oleh saya tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahayamata,” kata Siti.

Siti juga telah menyiapkan video muzik lagu Anakanda dan kini disiarkan secara rasmi di saluran Youtube Siti Nurhaliza.

Video muzik ini mendapat tajaan dan kerjasama daripada syarikat Cuckoo. – MalaysiaGazette