Home Nasional Rumah jadi pusat judi dalam talian diserbu

Rumah jadi pusat judi dalam talian diserbu

Sebahagian pekerja yang terlibat dalam operasi judi dalam talian yang ditahan polis di Taman Orkid Desa, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Operasi pusat panggilan judi dalam talian yang didalangi warga China sejak tiga bulan lalu tumpas selepas diserbu polis lewat malam tadi.

Serbuan itu dijalankan di sebuah rumah di Taman Orkid Desa, dekat sini, pada jam 11.45 malam oleh Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur turut menahan 18 orang suspek.

Mereka termasuk 10 warga China dan lapan warga tempatan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff.

Polis turut merampas sebanyak 109 buah telefon bimbit pelbagai jenama, seunit modem, dua unit router, 27 buah komputer riba, wang tunai RM 54,000 dalam serbuan tersebut.

Katanya, kesemua suspek ini didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah tetapi direman mulai hari ini bagi siasatana lanjut.

Anggaran nilaian rampasan adalah sebanyak RM300,000 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Saiful Annuar berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mempromosikan perjudian dalam talian bagi pasaran tempatan.

Premis berkenaan telah beroperasi sebagai pusat panggilan sejak tiga bulan yang lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM25,000 sebulan.

Setiap pekerja menerima upah di antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan manakala penjaga premis menerima upah sebanyak RM15,000 sebulan dan kegiatan ini juga dipercayai meraih keuntungan harian sebanyak RM 100,000, katanya lagi. -MalaysiaGazette