Home Utama Semua pelajar IPT dibenarkan balik beraya kecuali Sarawak

Semua pelajar IPT dibenarkan balik beraya kecuali Sarawak

Ministry of Higher Education (MOHE) public university fee discount IPTA
Ministry of Higher Education (MOHE)

KUALA LUMPUR – Kecuali Sarawak, semua pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri.

Bagaimanapun, para pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

Kebenaran ini adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kepada sektor pendidikan.

Berikutan kebenaran itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan, yang mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal.

Menurutnya, tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 hingga 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 hingga 20 Mei 2021.

KPT berkata, setiap IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri/daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

”Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

“Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

KPT menasihatkan semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan. – MalaysiaGazette