
IPOH – Isu Surau Al-Karamah di Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh di sini mendapat perhatian Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memberi perkenan agar surau itu tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata susulan, titah Sultan Nazrin itu, beliau mengadakan perbincangan khas bagi mendengar taklimat daripada pelbagai jabatan berkaitan.
Perbincangan itu telah merumuskan beberapa perkara dan telah dipersembahkan kepada Sultan Nazrin, katanya.
“Pihak kerajaan akan menawarkan tapak gantian baharu sementara pihak pemaju akan membiayai sepenuhnya kos pembinaan sebuah surau baharu,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, katanya, surau sedia ada akan terus berfungsi seperti biasa sehingga surau baharu siap dan boleh berfungsi untuk kegunaan penduduk.