Home Nasional Tiga ibu tunggal dakwa tidak dapat bantuan sewajarnya

Tiga ibu tunggal dakwa tidak dapat bantuan sewajarnya

Ketua Wanita Kramat, Sharifah Noorlina Mahdar (dua kanan) bertanyakan masalah yang dihadapi oleh tiga ibu tunggal yang mendakwa diri mereka tidak mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak berwajib selepas sidang media yang dianjurkan oleh aktivis Kramat di Ukay Perdana, Ampang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 APRIL 2021.

AMPANG – Tiga ibu tunggal mendakwa mereka tidak menerima bantuan sewajarnya dari institusi zakat atau agensi berkaitan walaupun sudah berkali-kali membuat permohonan.

Kesemua wanita terbabit yang tinggal di sekitar daerah itu turut mendakwa, mereka terpaksa memohon bantuan dari pihak gereja akibat dihimpit kesukaran hidup selepas bergelar ibu tunggal.

Kathy (bukan nama sebenar), 53, berkata, dirinya sudah membuat permohonan di institusi berkenaan sejak sembilan tahun lalu kerana mempunyai tanggungan anak-anak yang bersekolah selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurut Kathy, dia sudah bercerai dengan suami sejak 2004 dan mempunyai tiga anak berusia antara 24 hingga 29 tahun.

“Dalam keadaan yang amat susah ketika itu kerana anak-anak sedang di bangku sekolah menengah dan universiti, ditambah pula dengan rasa kecewa kerana permohonan zakat asyik ditolak, saya akhirnya terpaksa menghubungi individu dari sebuah gereja untuk meminta pertolongan.

“Saya tak sangka bila minta tolong dari pihak terbabit, cepat sahaja mereka hantar bantuan dan masukkan duit dalam akaun saya. Pernah satu ketika mereka selesaikan tunggakan sewa rumah saya yang mencecah RM20,000.

“Saya tanggung tiga anak dengan hanya berniaga kuih-muih yang dihantar ke kedai, kalau ikutkan memang tidak cukup untuk perbelanjaan harian dan kini hutang sewa rumah saya sudah kembali tertunggak mencecah hampir puluhan ribu ringgit.

“Tuan rumah kata pada saya, kalau orang lain tak bayar sewa sebegini banyak mereka sudah lama tinggal bawah jambatan. Jadi hasil menjual kuih-muih saya akan bayar sewa rumah setiap hari antara RM20 hingga RM30 tetapi amaun itu terlalu rendah untuk selesaikan tunggakan yang ada,” katanya dalam satu sidang media di Ukay Perdana hari ini.

Ketiga-tiga ibu tunggal berkenaan tampil berkongsi mengenai kesusahan yang dialami atas bantuan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Kramat.

Tambah Kathy lagi, sebelum ini dia bersama anak-anak menetap di ibu kota sebelum berpindah ke Ampang.

“Masa di KL dahulu memang dapat bantuan dari Baitulmal tetapi apabila berpindah dan duduk di sini sudah sembilan tahun, bila minta zakat saya akan dimaklumkan permohonan untuk tahun berkenaan sudah penuh.

“Saya juga pernah dimasukkan ke hospital selama sebulan kerana didakwa alami tekanan jiwa akibat beberapa kali cuba membunuh diri, kesian anak-anak ketika itu terutamanya yang bongsu kerana dia agak trauma sepanjang membesar,” katanya.

Sementara itu, Lina (bukan nama sebenar), 40, mendakwa dirinya juga sering dicemuh dan dihina kerana acap kali meminta pertolongan serta bantuan.

Lina yang juga merupakan ibu kepada tiga anak berusia 16 hingga enam tahun itu berkata, dia sudah tidak mampu lagi untuk bekerja atau berniaga kerana mengalami masalah kesihatan.

“Saya sudah dua kali jalani pembedahan di bahagian belakang badan serta kaki kiri kerana mempunyai kanser kulit dan ketika ini perlu berulang alik ke hospital untuk rawatan susulan.

“Hampir dua tahun saya bercerai dengan bekas suami dan sejak itu saya cuba untuk memohon bantuan dari pihak berkaitan tetapi tidak pernah berjaya.

“Bila orang tahu saya ada terima bantuan dari pihak gereja mereka kecam saya kenapa ambil duit tersebut, tapi hidup saya sangat sangat terdesak kerana ketika itu saya perlu selesaikan urusan sekolah anak yang nombor dua,” ujarnya.

Bagi Amy (bukan nama sebenar), 44, hidupnya umpama jatuh ditimpa tangga selepas diceraikan oleh suami pada penghujung tahun lalu.

Seorang ibu tunggal yang mendakwa dirinya tidak mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak berwajib dalam sidang media yang dianjurkan oleh aktivis Kramat di Ukay Perdana, Ampang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 APRIL 2021.

Kata Amy, dia menampung hidup bersama anak-anak dengan hanya menjual nasi lemak.

Cerita Amy, anak sulungnya berusia 24 tahun sudah berkahwin manakala empat lagi masih dibawah tanggungannya.

“Anak saya yang bongsu berumur empat tahun merupakan kanak-kanak kelainan upaya (OKU), buat masa ini saya cari wang dengan jual nasi lemak.

“Tapi sejak akhir-akhir ini saya dah tak mampu nak berniaga lagi kerana alami masalah kesihatan apabila tangan sering kebas dan tidak boleh digerakkan.

“Sebelum ini bekalan air di rumah saya memang hampir dipotong, nasib baik ada orang datang hulurkan bantuan.

“Saya bukan tidak mahu bekerja tetapi anak kecil saya merupakan OKU dan musim Covid-19 semua orang tahu susah nak cari kerja,” luahnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Kramat, Sharifah Noorlina Mahdar, berkata, ramai individu tampil memohon bantuan daripada mereka terutamanya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Jelas Sharifah Noorlina, mereka bukannya NGO yang mampu menyalurkan sumber kewangan secara terus tetapi lebih kepada mencari ikhtiar lain bagi membantu mana-mana individu di dalam kesusahan.

“Kalau boleh cepat lah hulur bantuan kepada kakak ini semua kerana hari raya pun sudah semakin hampir dan mereka juga mempunyai tanggungan anak-anak lebih dari seorang.

“Musim Covid-19 ini berapa sangat lah pendapatan yang mereka boleh dapat hasil berniaga.

“Selepas ini kita akan pergi terus kepada institusi dan agensi berkaitan untuk bertanya tentang status kelayakan ibu tunggal ini. Itu sahaja yang termampu kami lakukan dan diharap lepas ini kami dapat bantu lebih ramai lagi yang tidak mendapat hak mereka sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesan dan jejak bekas suami juga bertanggung-jawab menyara anak-anak atau mungkin pati indon dong.

Comments are closed.