Home Nasional Cadangan rumah mampu milik bagi kumpulan B40 telah diserah kepada kerajaan –...

Cadangan rumah mampu milik bagi kumpulan B40 telah diserah kepada kerajaan – Vincent Tan

Vincent Tan
Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR – Better Malaysia Foundation (BMF) telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan awal bulan ini berhubung rumah mampu milik khusus bagi kumpulan rakyat Malaysia berpendapatan rendah, yakni isi rumah B40.

Pengasas BMF, Tan Sri Vincent Tan memberitahu sidang media di sini hari ini bahawa kerajaan sedang mengkaji cadangan-cadangan itu.

“(Cadangan) telah dihantar kepada kerajaan, jadi saya serahkan kepada kerajaan,” katanya, dan enggan memberitahu kepada siapa cadangan itu diserahkan, atau kementerian mana yang dimaksudkannya.

Tan juga berkata, beliau yakin kerajaan akan menerima cadangan-cadangan BMF, dan dia sedar bahawa ada banyak perkara teknikal yang harus diperincikan berhubung cadangan itu.

Katanya, cadangan itu antara lain merangkumi usul agar kerajaan menjamin pinjaman (bagi B40 memiliki rumah), pembiayaan 100 peratus serta jangka masa kewangan yang lebih panjang hingga 60 tahun untuk pinjaman rumah.

Beliau berkata, sekiranya bank bersetuju untuk memberikan pinjaman kepada B40, banyak pemaju rumah akan membina rumah mampu milik dan keadaan itu adalah baik untuk negara.

Terdahulu sebelum sidang media, wakil media dibawa mengunjungi unit pameran rumah berkeluasan 900 kaki persegi dengan lima bilik tidur, dan empat bilik mandi bagi kumpulan keluarga B40 yang direka oleh BMF.

BMF baru-baru ini melancarkan program sosial baharu untuk membantu kerajaan dalam menangani aspirasi pemilikan rumah rakyat Malaysia berpendapatan rendah atau isi rumah B40.

Ia bertujuan memudahkan pembinaan hartanah dengan kos pemilikan bulanan yang rendah, dirancang dengan teliti agar keluarga terlibat dapat hidup makmur dan berkembang dengan baik. – Bernama

1 Komen

  1. Bilionaire pun kononnya ikhlas cadang pinjaman bank tambah duit bunga untuk rumah mampu milik B40.

Comments are closed.