Home Nasional JPJ tidak tetapkan had umur maksima miliki lesen vokasional

JPJ tidak tetapkan had umur maksima miliki lesen vokasional

Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tiada menetapkan sebarang syarat atau peraturan berkaitan had umur maksima kepada mana-mana individu yang ingin memegang sesuatu Lesen Vokasional untuk bekerja sebagai pemandu kenderaan perkhidmatan awam (Lesen PSV) termasuk kenderaan e-hailing, atau kenderaan barangan (Lesen GDL).

Ia merupakan syarat dalaman yang ditetapkan sesebuah syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing terhadap pemandu dan disarankan supaya dinilai semula dari semasa ke semasa termasuk had umur maksimum pekerja e-hailing, kata Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Mana-mana individu boleh terus memegang atau memperbaharui Lesen Vokasional mereka, selagi mana individu tersebut mematuhi semua syarat lain yang ditetapkan termasuk mengemukakan laporan perubatan yang mengesahkan mereka adalah sihat dan berupaya melaksanakan fungsi pemanduan dengan selamat.

“Bagaimanapun, penetapan had umur maksima oleh pihak Grab seperti dilaporkan media adalah merupakan suatu ketetapan atau syarat dalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu sebagai pemandu e-hailing dengan pihak Grab itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas satu artikel membabitkan seorang wanita warga emas yang menawarkan khidmat e-hailing.

Mengambil kira isu kesukaran hidup yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat akibat pandemik Covid-19 ini, beliau berharap operator perkhidmatan e-hailing dapat menilai semula syarat-syarat dalaman yang telah ditetapkan kepada pemandu e-hailing, termasuk yang berkaitan dengan had umur maksima ini.

“Perkara ini bertujuan membantu semua yang terlibat untuk dapat meneruskan kelangsungan kehidupan mereka dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing.

“Dalam masa sama, para pemandu e-hailing juga perlulah sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan tahap kesihatan diri mereka adalah dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

“Tahap kesihatan diri seorang pemandu e-hailing itu amatlah penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah sentiasa selamat terutamanya kepada penumpang dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette